19/12/2021

Usaha Memajukan Sektor Pelancongan Negara (3 isi sahaja)

    Sektor pelancongan merupakan satu bidang yang berkaitan dengan kedatangan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara ke negara kita. Mantan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam telah menggunakan slogan Melawat Melaka Bererti Malawat Malaysia untuk menggalakkan pelancong datang ke negeri Melaka. Hal ini amat bertepatan kerana negeri Melaka memang sudah terkenal dengan sejarah kesultanan Melayu Melaka dan penjajahan Baratnya. Sebenarnya, semua negeri di Malaysia sedang mengambil langkah yang sama dalam hal ini memandangkan sektor ini boleh menjana pendapatan yang sangat lumayan. Oleh itu, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita?


    Antara usaha yang boleh dilakukan untuk memajukan sektor pelancongan di Malaysia ialah pengusaha industri pelancongan mestilah meningkatkan prasarana pelancongan di Malaysia Hal ini amat signifikan kerana kemudahan asas ini bagaikan pakej pelancongan lengkap yang perlu disediakan dalam segenap aspek demi keselesaan pelancong dari luar negara ataupun pelancong tempatan. Sebagai contohnya, pengangkutan awam dan penginapan merupakan dua perkara yang perlu menjadi prioriti pemacu industri pelancongan.Usaha syarikat penerbangan akhir-akhir ini telah berjaya meningkatkan kemasukan pelancong asing. Manakala pembinaan hotel-hotel yang rancak ibarat peribahasa Melayu, bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, akan menggalakkan industri pelancongan negara. Jelaslah, pemantapan prasarana yang diusahakan oleh pemacu industri pelancongan terus menggamit para pelancong lantas memajukan sektor pelancongan negara ini.


    Selain itu, antara usaha yang boleh diaplikasikan untuk memajukan sektor pelancongan di Malaysia ialah pihak yang bertanggungjawab haruslah mewartakan kawasan pelancongan baharu. Hal ini amat penting kerana kawasan pelancongan baharu akan menarik perhatian lebih ramai pelancong untuk merasai dan menikmati kawasan pelancongan yang belum pernah mereka terokai. Sebagai contohnya, kerajaan negeri ataupun pengusaha industri pelancongan mewartakan kawasan di tepian pantai untuk dimajukan serta dijadikan sebagai kawasan pelancongan yang baharu. Jelaslah di sini, pengusaha industri pelancongan sepatutnya mengambil langkah awal dengan mewartakan kawasan pelancongan baharu untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita.


    Akhir sekali, antara usaha yang boleh dilakukan untuk memajukan sektor pelancongan di Malaysia ialah agensi-agensi tertentu perlulah mempromosikan produk pelancongan. Hal ini amat efektif kerana para peniaga dapat memajukan penjualan seperti kraftangan mereka di samping menarik minat para pelancong untuk melawat ke kawasan pelancongan tersebut. Pelancong asing juga akan berasa teruja dan ingin datang berkali-kali. Sebagai contohnya, peniaga produk pelancongan mahupun agensi yang memasarkan produk pelancongan seperti baju dan cenderamata mempromosikan produk pelancongan mereka. Para pelancong terutamanya pelancong dari luar negara pastinya akan berasa takjub dan ingin datang ke Malaysia pada masa yang akan datang. Jelaslah di sini, promosi produk pelancongan oleh agensi-agensi tertentu juga dapat menyumbang kepada kemajuan sektor pelancongan di Malaysia.


    Secara keseluruhannya, pelbagai usaha yang boleh dilakukan untuk memajukan sektor pelancongan di Malaysia. Oleh itu, semua pihak perlulah memainkan peranan masing-masing secara bersungguh-sungguh dan konsisten bagi memastikan matlamat negara menarik seberapa ramai pelancong tercapai. Berkat daya usaha yang tidak mengenal putus asa, Malaysia akan menjadi pusat pelancongan yang tiada tolok bandingnya di rantau Asia malah di seluruh dunia. Matlamat ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Sebagai seorang pelajar, jelaskan manfaat-manfaat yang anda peroleh daripada penggunaan laman sosial.

Masyarakat dunia pada hari ini sering menggunakan laman sosial untuk pelbagal tujuan dan kegunaan.

Sebagai seorang pelajar, jelaskan manfaat-manfaat yang anda peroleh daripada penggunaan laman sosial.

 

                Pada zaman dahulu, masyarakat bertandang ke rumah jiran untuk bertanya khabar atau berbual-bual bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan sebagai satu proses sosialisasi. Namun, pada era kecanggihan teknologi ini, proses sosialisasi dilalui oleh masyarakat menerusi medium berteknologi tinggi. Menurut kenyataan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Shabery Chek, kebanyakan rakyat Malaysia dahagakan pengalaman berinteraksi dengan dunia luar menggunakan cara yang lebih interaktif dan efektif iaitu melalui laman sosial. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Facebook Incorporation pada tahun 2012 pula, Malaysia menduduki negara kedua teratas dalam senarai negara dengan jumlah pengguna laman sosial Facebook paling ramai di Asia selepas Indonesia. Walau bagaimanapun, bagi saya penggunaan laman sosial seperti Facebook, Twitter' dan 'Instagram bukanlah digunakan untuk berhibur semata-mata, malah sebagai pelajar saya mendapat banyak manfaat bagi pelbagai tujuan yang lebih berfaedah. Sebenarnya, sebagai pelajar dalam era globalisasi ini, pelbagai manfaat yang saya peroleh daripada penggunaan laman sosial.


                Salah satu kebaikan daripada penggunaan laman sosial yang nyata kepada saya ialah saya dapat mengeratkan perhubungan dengan rakan-rakan dan saudara-mara. Hal ini demikian kerana, rangkaian luas dalam laman sosial membolehkan saya dan rakan-rakan berhubung semula di samping mengeratkan jalinan persaudaraan sesama sanak saudara. Perhubungan yang terpisah sementara dek hambatan masa dan urusan masing-masing serta faktor jarak antara saya dan mereka dapat dikukuhkan melalui interaksi di laman sosial. Rakan rakan zaman persekolahan peringkat rendah dan menengah dapat ditemui menerusi laman sosial, begitu juga dengan saudara-mara saya yang berhijrah ke tempat lain di dalam negara atau luar negara dapat dihubungi semula. Interaksi menerusi laman sosial ini kerap kali membawa kepada pertemuan realiti seperti majlis perjumpaan bekas pelajar sekolah atau perhimpunan anggota keluarga secara besar-besaran. Di samping itu, melalui Facebook saya dapat menambah lebih ramai kenalan termasuklah rakan-rakan baru dari seluruh dunia. Bagi saya, mewujudkan ikatan atau perhubungan dengan masyarakat dunia luar pada alaf 21 ini amat penting kerana hal ini dapat meluaskan horizon minda saya. Melalui laman sosial, saya dapat mengetahui dan memahami adat dan budaya sesebuah masyarakat di negara lain melalui ‘rakan maya’. Interaksi di alam siber membolehkan paparan variasi gambar dan teks yang mendedahkan adat dan budaya masyarakat setempat dapat saya ketahui. Sebaga contoh, rakan 'Facebook' saya dari Perancis dapat menyampaikan cerita kepada saya cara tentang cara hidup dan amalan budaya mereka. Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan sahabat handai dan saudara-mara di samping menambah kenalan baru saya.


                Selain itu, melalui laman sosial juga saya dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dalam subjek yang dipelajari dan juga mencakupi pelbagai bidang lain. Hal ini demikian kerana, menerusi laman sosial terdapat pelbagai laman blog milik indidvidu yang mahir dalam sesuatu bidang. Banyak blog yang berkaitan akademik ditulis oleh para guru dari seluruh tanah air yang memuatkan pelbagai panduan, tip dan bahan pembelajaran. Tokoh kemanusiaan terkemuka dari India, Mahatma Gandhi pernah berkata "pendidikan merupakan akar bagi sesebuah bangsa yang mundur untuk bangkit. Sehubungan dengan itu, saya mengambil inisiatif yang bijak dengan memuat turun nota dan contoh soalan daripada blog-blog yang tersedia secara percuma dan pantas. Melalui kaedah ini, saya dapat mengurangkan kos untuk membeli buku rujukan dan buku koleksi soalan. Sebagai contohnya, nota-nota serta soalan soalan percubaan peringkat negeri dapat saya gunakan secara maksimum setelah di muat turun dan dicetak. Saya juga boleh beriteraksi dengan pemilik-pemilik blog untuk mendapatkan pengetahuan yang lebih terperinci dalam bidang yang saya sukai. Sebagai contohnya, bidang seni fotografi kian menjadi kegemaran saya lantaran melihat pelbagai gambar panorama menarik di beberapa buah negara. Minat baru saya ini didorong secara kuat oleh kenalan kenalan yang mempunyai hobi yang sama dan mereka memberikan pautan pemilik blog yang mahir dalam bidang fotografi. Impaknya, kemahiran dalam mengendalikan kamera dapat saya pelajari. Sudah terang lagi bersuluh bahawa melalui penggunaan laman sosial membolehkan saya meningkatkan ilmu dan prestasi akademik serta menambahkan pengetahuan baru yang lain tanpa sekatan.


                Tidak dapat dinafikan, interaksi melaui laman sosial dapat membantu saya mendapatkan maklumat pengajian di alam maya secara terperinci. Hal ini membawa maksud, selain berinteraksi dengan berbual di alam maya, saya dan rakan-rakan dapat merancang masa depan secara serius. Saya dan rakan-rakan tidak perlu ke lokasi sebenar institusi yang diminati. Sebaliknya, saya dan rakan-rakan dapat menyertal kumpulan individu yang mempunyai kecenderungan atau minat yang sama di laman sosial dan membuat perancangan program pendidikan selepas menduduki  Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan lebih lancar. Kami berdiskusi tentang maklumat berkaitan program pengajian dan bidang pekerjaan yang diimpikan setelah tamat pengajian peringkat ijazah. Saya yang meminati bidang psikologi dan neurologi berusaha mendapatkan maklumat lanjut tentang universiti yang menawarkan pengajian dalam bidang ini. Saya sering melayari laman web University of Nottingham melalui kursus 'Psychology dan Cognitive Neuroscience' untuk berinteraksi dengan mahasiswa dalam kursus ini. Melalui ruang bual atau 'chat room' yang disediakan, saya mendapatkan maklumat dalam bidang ini secara mendalam. Tegasnya, penggunaan laman sosial dapat membantu saya merancang masa depan yang cerah dalam bidang pengajian yang diminati, sesuai dengan pepatah Inggeris yang bermaksud "jika anda gagal untuk merancang, anda merancang untuk gagal".


                Melalui laman sosial juga, saya dapat menjana pendapatan sendiri dengan melakukan perniagaan secara kecil-kecilan. Aktiviti baru ini membolehkan saya mengurangkan kebergantungan kepada ibu bapa selain mengajar saya untuk berdikari. Perniagaan ini dilakukan sebagai hobi sahaja kerana saya perlu mengutamakan pelajaran saya pada ketika ini. Saya yang turut meminati bidang perniagaan dapat menggunakan peluang keemasan di laman sosial ini untuk mewujudkan jaringan perniagaan dengan agen atau rakan bisnes lain. Penjualan tudung dan aksesori pakaian yang saya lakukan semakin mendapat perhatian daripada kenalan-kenalan saya. Mereka sering menempah produk yang saya pasarkan menerusi 'Facebook' dan 'Instagram' milik saya. Secara tidak langsung, saya mempelajari teknik pemasaran, kedudukan akaun perniagaan dan cara mendapatkan stok produk. Pengalaman berniaga secara atas talian ini juga memudahkan saya kerana tidak memerlukan ruang kedai khusus yang memerlukan kos lebih besar, malahan aktiviti ini menguntungkan kerana modal lebih rendah, pemasaran produk lebih cepat dan mudah. Oleh itu, izharlah bahawa penggunaan laman sosial dapat menjana pendapatan bagi seorang pelajar seperti saya dan mengajar saya untuk berdikari ibarat peribahasa Melayu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.


                Kesimpulannya, pelbagai manfaat yang saya peroleh daripada penggunaan laman sosial dalam usaha melengkapkan diri sebagai seorang pelajar dan remaja generasi kini. Manfaat yang diperoleh datangnya daripada kebijaksanaan pengguna laman sosial itu sendiri. Oleh yang demikian, saya dan para pelajar perlulah memastikan laman sosial digunakan secara baik dan bijak agar mendapat impak yang positif dan menghindarkan penyalahgunaan laman sosial yang bakal mengundang masalah kebejatan moral dalam kalangan generasi remaja kini. Peribahasa Melayu menyatakan, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Diharapkan, penggunaan laman sosial secara bijak dapat melahirkan insan yang berdaya saing dalam era kepesatan Teknologi Komunikasi dan Maklumat ini. Generasi yang berminda kelas pertama ini pastinya akan memberi sumbangan terhadap kemajuan negara Malaysia tercinta ini.

15/11/2021

'Budi Bahasa Budaya Kita'. Huraikan peranan ibu bapa dalam menyuburkan amalan berbudi bahasa dalam kalangan anak-anak.

        Dalam menongkah arus globalisasi dan modenisasi ,negara Malaysia semakin maju mengatur langkah hingga ke persada antarabagsa .Penerapan budaya yang baik menjadikan Malaysia semakin gah berdiri bersama-sama negara yang maju seperti Jepun dan negara-negara Eropah.Namun, sayang seribu sekali sayang, amalan budaya yang baik ini semakin sirna dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum . Hal ini adalah disebabkan beberapa faktor seperti sikap individualistik sesetengah masyarakat yang tidak mengambil berat dan tidak berbudi bahasa dengan masyarakat yang lain. Slogan ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi mengatasi masalah ini kurang mendapat sambutan daripada masyarakat khususnya golongan remaja dan anak-anak. Oleh itu, ibu bapa berperanan vital dalam mendidik anak-anak supaya mengamalkan slogan ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ memandangkan institusi kekeluargaan merupakan asas bagi membentuk anak muda menjadi orang yang berguna. 

         Antara prakarsa dalam menyuburkan budaya budi bahasa kepada anak-anak ialah ibu bapa mendidik anak-anak supaya berbudi bahasa sedari kecil lagi. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu,melentur buluh biarlah dari rebungnya . Berdasarkan kata puitis yang penuh retorik ini, ibu bapa sewajarnya mentarbiyah anak-anak dalam pelbagai cabang kehidupan khususnya dalam aspek sahsiah . Hal ini demikian kerana peribahasa Melayu juga mengatakan ,asal benih yang baik dicampak laut menjadi mutiara , dicampak ke darat membentuk permata , terawang di angkasa bertukar kejora. Komitmen ibu-bapa tidak berhenti setakat itu sahaja , mereka perlulah mendidik anak-anak dengan lemah lembut supaya anak-anak lebih mudah untuk menerima ilmu tersebut.Aspek sahsiah yang perlu ditekankan dalam diri anak-anak termasuklah menjaga tutur kata daripada perkataan nista dan tidak elok, menghormati orang yang lebih tua, menyayangi orang yang lebih muda . Jelaslah , ibu-bapa perlulah mengajar anak-anaknya dengan amalan budi bahasa yang tinggi agar anak-anak ini tidak akan menconteng arang ke muka mereka seterusnya dipandang tinggi dan disanjung masyarakat setempat. 

        Selain itu, peribahasa Melayu ada menyatakan, bagaimana acuan begitulah kuihnya, bagaimana contoh begitulah gubahnya, bagaimana tepuk begitulah tarinya. Ibu bapa seharusnya menjadi suri teladan kepada anak-anak. Sebelum mengajar anak-anak agar berbudi bahasa, ibu bapa dahulu yang perlu bersikap semedikian. Hal ini adalah untuk mengelakkan ibu bapa menjadi seperti ketam mengajar anaknya jalan lurus. Tambahan pula, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Anak-anak kebiasaannya akan menjadi seperti ibu bapanya. Jika baik ibu bapanya, maka baiklah anaknya. Ibu bapanya sewajarnya berbudi bahasa dengan pelbagai lapisan masyarakat bermula dari yang muda hinggalah yang tua. Hal ini adalah untuk memastikan anak-anak mereka turut mengamalkan budaya berbudi bahasa. Ibu bapa juga sewajarnya menjadi contoh teladan dengan berbuat baik terhadap jiran tetangga mahupun saudara-mara. Ibu bapa juga sewajarnya perlulah cakna dengan sikap anak-anak mereka agar mereka tidak terdorong untuk melakukan sikap-sikap mazmumah yang keji lagi hina. Sebelum nasi menjadi bubur, sebelum harapan menjadi kabur, Ibu bapa hendaklah bertindak pantas dalam menunjukkan sahsiah yang baik agar anak-anak yang masih muda dan mentah dapat dibesarkan dalam suasana yang baik dan berbudi bahasa. Izharnya, ibu bapa bertanggungjawab menjadi ustawun hasanah kepada anak-anak mereka dalam menyuburkan amalan berbudi bahasa ini. 

        Hakikat yang tidak dapat disangkal, bapa ibarat nakhoda yang mengemudi bahteranya. Nakhoda inilah yang akan menjaga kebajikan anak-anak kapalnya. Apabila badai datng melanda, nakhodalah yang membuat keputusan sama ada berpatah balik atau terus menongkah badai tersebut. Jika nakhoda tersalah membuat keputusan, maka karamlah bahteranya. Ibnu Batutah juga pernah berkata, “kehebatan sesebuah bahtera tidak terletak pada kehebatan bahtera tersebut, tetapi terletak pada nakhoda yang mengemudi bahtera tersebut.” Itulah yang dapat dianalogikan kepada tugas dan amanah seorang bapa. Sebagai ketua keluarga, bapa perlulah menghantar anak-anaknya ke sekolah bermula dari umurnya tujuh tahun lagi. Hal ini demikian kerana, anak-anak mampu dididik untuk berbudi bahasa melalui pembelajaran di sekolah khususnya subjek Pendidikan Islam, Bahasa Melayu dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Bukan itu sahaja, seorang bapa itu wajar menghantar anaknya ke sekolah supaya mereka dapat mengimplementasikan nilai-nilai murni yang telah diterapkan dalam diri mereka semasa berada di rumah kepada rakan-rakan dan guru-guru mereka. Hal ini adalah untuk memastikan mereka mampu untuk mengamalkan sifat-sifat mahmudah dengan orang yang terdekat dengan mereka dan seterusnya dengan masyarakat pluralistik di persekitaran mereka. Bapa juga seyogianya memupuk sifat mahmudah dalam atma dan sanubari anak-anak agar mereka dapat menjadi insan yang berbudi bahasa dan berperketi mulia . Tidak dapat dinafikan lagi, bapa merupakan tonggak keluarga yang membentuk anak-anak yang berbudi bahasa. 

        Seterusnya, dalam menelusuri kehidupan berkeluarga, anak-anak ini ibarat kain putih yang bersih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Penerapan ilmu agama perlu menjadi keutamaan ibu bapa dalam memupuk dan melahirkan anak-anak yang berbudi bahasa. Pendeta bahasa, Hamka pernah mengatakan bahawa agama tidak melarang sesuatu perbuatan itu jika tidak merosakkan jiwa, agama tidak menyuruh melakukan sesuatu perkara jika perkara itu tidak membawa kepada keselamatan dan kebahagiaan jiwa. Menurut kata-kata Hamka ini, ibu bapa sewajarnya mendidik anak-anak dengan ilmu agama kerana ilmu agama mampu mendisiplinkan dan melahirkan anak-anak yang baik dalam segenap aspek. Agama Islam menganjurkan umatnya agar beradab sopan dan dan berbudi bahasa dalam kehidupan seharian. Sifat lemah lembut dan baik hati Khalifah Uthman bin Affan wajar dijadikan teladan kepada anak-anak. Ibu bapa perlu mengetahui bahawa anak yang tiada didikan agama ini umpama kaca, bukannya permata. Ajaran yang dibawa oleh agama Islam adalah terbaik dan bermanfaat serta relevan sepanjang zaman. Pada masa ini, ibu bapa wajarlah menjadikan Nik Nur Madihah sebagai panduan untuk mendidik anak-anak kerana beliau bukan sahaja pintar, malah berbudi bahasa dan berakhlak mulia hasil daripada hubungan beliau yang baik dengan Sang Pencipta. Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa yang menerapkan didikan agama yang kukuh dalam diri anak-anak mampu menjadikan anak-anaknya berbudi bahasa. 

        Sebagai meneruskan kesinambungan generasi zuriat, amanah ibu bapa tidak berhenti setakat itu sahaja. Ibu bapa juga perlulah sentiasa memantau gerak-geri anak-anak. Ibu bapa tidak sepatutnya bekerja terlalu keras sehingga mengabaikan anak-anak di rumah. Sebaliknya, ibu bapa hendaklah meluangkan masa dengan anak-anak, melihat perkembangan akademik anak-anak dan memantau tingkah laku anak-anak. Tujuan tindakan ini adalah untuk memastikan anak-anak mendapat kasih sayang yang secukupnya dan terhindar daripada terjurumus ke lembah kehinaan. Jika anak-anak melakukan sebarang kesilapan seperti berbahasa kasar ataupun tidak menghormati orang lain, ibu bapa sewajarnya menegur dan menasihati anak-anak secara berhikmah agar tidak berkelakuan sedemikian kerana akan memberi impak yang buruk kepada diri anak-anak serta ibu bapa itu sendiri. Amalan nasihat-menasihati ini perlu diimplementasikan antara ahli keluarga untuk memastikan anak anak tidak melakukan kesilapan dan kesalahan, malah dapat membaiki diri mereka agar menjadi insan yang lebih baik dari hari ke hari. Peribahasa Melayu, sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan perlu dititikberatkan dalam mendidik anak-anak agar setiap nasihat yang diberikan dapat meresap ke dalam diri mereka. Ibu bapa juga seharusnya mengajak anak-anak menziarahi saudara-mara dan mengunjungi jiran tetangga supaya dengan aktiviti tersebut, secara tidak langsung ibu bapa dapat mengajar anak-anak agar bersikap baik terhadap anggota masyarakat di sekeliling mereka. Titik tolak daripada manifestasi ini, ibu bapa memegang amanah untuk menasihati dan memperbaik sahsiah anak-anak walau di mana mereka berada. 

        Secara keseluruhannya, ibu bapa amat berperanan penting dalam menyuburkan amalan budi bahasa dalam kalangan anak-anak. Bagi mencapai matlamat tersebut, ibu bapa perlulah menggembleng tenaga dan nekad melaksanakan azam dalam melahirkan anak-anak sebagai generasi yang berbudi bahasa. Seorang cendekiawan pernah berkata, "cita-cita yang besar tidak dapat dicapai dengan target yang kecil dan usaha yang biasa-biasa sahaja," Diharapkan, transformasi dalam pendidikan tidak formal oleh ibu bapa yang menjadi guru pertama di rumah dapat dilakukan dengan jayanya supaya anggota masyarakat yang berbudi bahasa dapat dilahirkan. Generasi inilah yang akan hidup bersama-sama umpama serumpun bagai serai, sedencing bagai besi dan seçiap bagai ayam hasil daripada amalan budi bahasa yang diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat. Keteguhan budaya dan pengamalan budi bahasa inilah yang menjadikan rakyat Malaysia sering menjadi sebutan di mana-mana.

07/10/2020

Peranan Ibu Bapa Dalam Menjamin Keselamatan Anak-Anak - Perenggan Isi Sahaja, Tips IMBAKUP

     Selamat sejahtera kepada pembaca blog karangan saya. Harini saya akan kongsikan tips untuk merangka perenggan isi. Teknik yang selalu sya gunakan ialah IMBAKUP. Untuk memudahkan pemahaman kalian, saya sertakan contoh seperti di bawah. 

 

Isi Pertama

 Isi

Antara peranan ibu bapa dalam menjamin keselamatan anak-anak ialah ibu bapa perlulah menasihati anak mereka supaya bijak dalam memilih rakan.

 Mengapa

Hal ini demikian kerana dalam alam persekolahan, anak-anak lebih banyak bergaul dengan rakan-rakan berbanding ibu bapa.

 Bagaimana

Sebagai contohnya, ibu bapa menegur dan mendidik anak-anak untuk bijak memilih rakan seperti berkawan dengan pelajar yang merupakan ulat buku ataupun mereka yang mempunyai personaliti yang baik.

 Kesan

Perkara ini bukan sahaja mendorong anak-anak untuk belajar bersungguh-sungguh tetapi juga mendorong anak-anak untuk membuat keputusan yang rasional melalui pemilihan rakan secara bijak yang dipraktikkannya.

 Ungkapan Menarik

Bak kata peribahasa melayu, ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Ibu bapa haruslah mendidik anak-anak dengan sikap yang positif sejak mereka kecil.

 Penegasan

Jelaslah di sini bahawa nasihat dan didikan yang diberikan oleh ibu bapa memberi impak dalam usaha untuk menjamin keselamatan anak-anak serta membentuk mereka menjadi insan yang berguna.


 Isi Kedua

 Isi

Selain itu, peranan ibu bapa dalam menjamin keselamatan anak-anak ialah ibu bapa perlulah mengehadkan penggunaan internet bagi anak-anak.

 Mengapa

Hal ini demikian kerana generasi muda zaman sekarang terlalu terdedah dengan kemajuan dan kecanggihan dalam bidang teknologi .Pendedahan tersebut menjadi pendorong kepada berlakunya kes penculikan atau perkara yang tidak diingini.

 Bagaimana

Sebagai contohnya, anak-anak yang berumur lingkungan 12 tahun sudah mempunyai pelbagai akaun laman sosial seperti instagram, twitter, facebook  dan sebagainya.

 Kesan

Mereka berisiko tinggi untuk berinteraksi dengan penculik melalui akaun laman sosial tersebut serta menyebabkan mereka mudah untuk dijejaki sekiranya memuat naik lokasi di mana mereka berada.

 Ungkapan Menarik

Bak kata peribahasa Melayu, ‘Bagaimana acuan,begitulah kuihnya’.Ibu bapa haruslah menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak.

 Penegasan

Jelaslah di sini bahawa ibu bapa perlu mengehadkan penggunaan internet bagi anak-anak supaya perkara buruk yang boleh berlaku dapat dielakkan.

 

Isi Ketiga

 Isi

Seterusnya, ibu bapa perlulah mengambil tahu tentang pergerakan anak-anak seandainya mereka ingin keluar dari rumah.

 Mengapa

Hal ini demikian kerana pengetahuan tentang destinasi yang dituju atau pergerakan anak-anak dapat membantu ibu bapa untuk mengurangkan risiko kes penculikan daripada berlaku.

 Bagaimana

Sebagai contohnya, anak-anak terutama golongan remaja pasti akan bertemu rakan-rakan meraka apabila keluar dari rumah. Kebiasaannya mereka akan bertemu si sebuah pusat beli-belah dan melakukan aktiviti seperti menonton wayang.

 Kesan

Tindakan yang sedemikian iaitu tindakan ibu bapa mengambil tahu pergerakan anak-anak dapat memastikan destinasi yang mereka tuju adalah selamat dan tidak berisiko tinggi untuk perkara yang tidak diingini berlaku.

 Ungkapan Menarik

‘Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’. Ibu bapa perlulah mengambil langkah drastik iaitu dengan mengamil tahu hala tuju anak-anak supaya keselamatan mereka terjamin.

 Penegasan

Jelaslah di sini bahawa ibu bapa harus memantau pergerakan anak-anak agar risiko untuk berlaku kes penculikan dapat dikurangkan.


 Isi Keempat

 Isi

Selanjutnya, antara peranan ibu bapa dalam menjamin keselamtan anak-anak ialah ibu bapa hendaklah menggalakkan anak-anak mereka untuk mempelajari ilmu mempertahankan diri.

 Mengapa

Hal ini diperkatakan sedemikian kerana anak-anak mudah untuk mengikuti ajakan orang yang tidak dikenali selepas ditabur ayat- ayat manis. Melalui ilmu mempertahankan diri yang dipelajari anak-anak, mereka boleh melindungi diri sendiri dan mengelakkan mereka daripada mudah terpengaruh dengan ajakan individu yang tidak dikenali.

 Bagaimana

Misalnya, ibu bapa mendedahkan anak-anak dengan ilmu mempertahankan diri seperti silat dan taekwondo serta menggalakkan anak-anak mereka untuk mengikuti latihan yang dijalankan.

 Kesan

Anak-anak akan lebih berdisiplin apabila mereka sering mengikuti latihan kerana setiap ilmu mempertahankan diri sememangnya terkenal dengan disiplin yang diamalkan. Mental dan fizikal anak-anak juga akan berfungsi dengan lebih baik.

Ungkapan Menarik

Bak kata pepatah, ‘Belakang parang kalau diasah lagikan tajam’. Ibu bapa harus mempercayai bahawa anak-anak boleh berubah menjadi lebih baik dan berupaya untuk mempertahankan diri mereka setelah menguasai ilmu mempertahankan diri.

 Penegasan

Sudah terang lagi bersuluh, penggalakkan ibu bapa agar anak-anak mempelajari ilmu mempertahankan diri dapat membentuk anak-anak menjadi lebih bail dan mengurangkan risiko kes penculikan.

 

Isi Kelima

 Isi

 Akhir sekali meluangkan masa dengan anak-anak juga merupakan antara peranan ibu bapa dalam menjamin keselamatam anak-anak

 Mengapa

Hal ini demikian kerana apabila ibu bapa  meluangkan masa dengan anak-anak aktiviti anak-anak lebih terancang dan mengeluarkan anak-anak  daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah

 Bagaimana

Sebagai contohnya,ibu bapa membawa anak –anak melawat tempat tempat menarik seperti muzium dan zoo

 Kesan

Anak anak dapat mengetahui tentang sejarah sekali gus menambahkan pengetahuan mereka yang boleh diguna pakai dalam pelajaran di sekolah

 Ungkapan Menarik

Seperti cogan kata, masa itu emas. Ibu bapa harus memanfaatkan masa terluang mereka bersama anak-anak agar dapat mengelakkan anak-anak berasa terabai sekaligus menjaga keselamatan mereka.

 Penegasan

Jelaslah di sini bahawa ibu bapa perlu meluangkan masa dengan anak-anak supaya keselamatan mereka terjamin.


 


26/06/2020

Usaha Melestarikan Warisan Seni Budaya


                    Kebudayaan warisan bangsa boleh ditakrifkan sebagai kebudayaan sesuatu bangsa yang amat dihargai oleh rakyat dan diturunkan dari generasi ke generasi yang lain. Kebudayaan warisan bangsa merujuk budaya yang sudah diamalkan sejak berkurun lamanya oleh sesuatu bangsa itu. Antara kebudayaan itu meliputi pakaian, makanan dan juga bahasa yang begitu diagungkan oleh setiap kaum itu kerana itulah identiti mereka. Pihak media massa juga ada menyiarkan pelbagai ulasan mereka tentang kebudayaan warisan kita yang semakin terhakis terutama dalam jiwa remaja zaman moden dan kontemporari ini. Lantaran itu, pelbagai langkah susulan boleh diambil untuk memastikan kebudayaan warisan ini terus berkekalan.

Langkah awal sudah pasti melibatkan penggunaan kempen kesedaran yang berkesan oleh pihak berkuasa. Kempen ini disiarkan melalui media massa dengan menggunakan tokoh budaya sebagai jurucakap kempen itu bersama-sama informasi yang lengkap tentang kebudayaan kita. Kaedah ini memastikan remaja memahami dan mengetahui mengenai kebudayaan sendiri dengan mudah dan menarik pula lalu timbul perasaan menghargainya. Jadi, kempen yang efektif berupaya untuk memastikan kebudayaan ini terus berkekalan.

Selain itu, pihak berkuasa boleh menubuhkan pelbagai agensi dan institusi latihan yang berkaitan dengan kebudayaan ini dan bertindak sebgai tulang belakang. Peranan agensi ini adalah untuk melancarkan program berkaitan dengan kebudayaan sepanjang tahun dan institusi ini pula berpeluang melatih remaja tentang aspek kebudayaan itu dengan baik bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sudah pasti ramai remaja kita akan mahir dalam tarian, seni tukang, lukisan corak batik dan nyanyian dondang sayang itu. Jelaslah, kewujudan agensi khas dan institusi latihan menjamin kebudayaan kita ini terus wujud dalam sanubari remaja kita pula.

Bukan sahaja kempen dilancarkan dan agensi serta insitusi ditubuhkan tetapi perubahan minda masyarakat terhadap kebudayaan juga harus berlaku dengan drastiknya. Masyarakat terutama ibu bapa sering memandang rendah aktiviti atau kerjaya dalam bidang kebudayaan dengan alasan tiada prospek masa depan. Sepatutnya orang yang lebih berusia akan lebih menghargai seni kebudayaan tetapi jika ibu bapa yang tidak melihat kebudayaan sesuatu yang baik sudah pasti remaja lebih tidak rela untuk melibatkan dirinya dalam sebarang aktiviti budaya ini kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Sesungguhnya, persepsi masyarakat yang kelirulah yang menyebabkan kebudayaan kita terus hilang ditelan dek zaman.

Malah, pemberian pelbagai insentif daripada pihak kerajaan boleh memberikan galakan agar masyarakat menghargai kebudayaan ini. Pemberian insentif itu meliputi pemberian geran kewangan, biasiswa, kemudahan pinjaman dan sebagainya yang memudahkan pihak tertentu untuk mengikuti latihan atau menganjurkan program berunsur kebudayaan ini. Jika lebih banyak aktiviti kebudayaan boleh dianjurkan sudah pasti tahap kefahaman masyarakat tentang kepentingan kebudayaan itu amat dihargai pula. Oleh itu, insentif yang betul dan banyak serta mudah memberikan satu peluang untuk kebudayaan ini terus wujud di Malaysia.

Tambahan pula, kebudayaan warisan negara ini boleh diteruskan melalui pengawalan budaya asing ke negara ini. Maksudnya, semua program televisyen yang berunsur budaya kuning hendaklah dipantau oleh pihak berkuasa kerana penghakisan kebudayaan warisan negara ini berlaku disebabkan oleh mudahnya budaya luar meresap ke dalam jiwa remaja. Kesukaran untuk melihat budaya luar mengurangkan risiko buat remaja untuk mengikuti budaya yang tidak sesuai itu malah tidak berminat untuk menirunya. Maka, tindakan tegas untuk mengawal kehadiran budaya luar menjadi benteng asas memastikan kebudayaan warisan kita ini terus wujud untuk beberapa dekad akan datang pula.

Kesimpulannya, semua tindakan yang disuarakan tadi memang praktikal untuk dilaksanakan di Malaysia. Kerjasama semua pihak terutama remaja itu amat diperlukan agar kebudayaan kita ini terus berkekalan. Kegagalan untuk mengekalkan kebudayaan sendiri boleh menyebabkan imej negara dan masyarakat itu sendiri akan musnah dalam sekelip mata sahaja. Bak kata pepatah 'tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan' yang membuktikan betapa pentingnya kebudayaan sesebuah bangsa itu dalam kehidupan.

10/11/2019

Kepentingan/ Kebaikan Amalan Gaya Hidup Sihat (Bahagian A)

             Amalan gaya hidup sihat ialah aktiviti yang selalu dibuat untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan.  Perdana Menteri Malaysia yang ke-6, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak pernah berkata bahawa rakyat Malaysia harus mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk memperoleh kebaikan daripadanya. Sejarah membuktikan masyarakat zaman dahulu hidup dalam tempoh masa yang lebih lama berbanding masyarakat zaman sekarang kerana mengamalkan gaya hidup yang sihat. Masyarakat sekarang banyak mengalami masalah kesihatan kerana tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat. Persoalannya, apakah kepentingan amalan gaya hidup sihat?

           Antara kepentingan amalan gaya hidup sthat ialah dapat mengekalkan kesihatan tubuh badan dan otak. Hal ini amat signifikan kerana hidup yang berkualiti berpunca daripada tubuh badan yang sihat serta otak yang cerdas. Bersukan dan beriadah dapat menjamin tubuh badan seseorang. Sebagai contohnya, aktiviti berjoging, bemain badminton dan berbasikal dapat mengekalkan kekuatan tubuh badan. Kesannya, seseorang itu dapat hidup dengan aman dan harmoni kerana terhindar daripada pelbagai penyakit yang berkaitan dengan tubuh badan yang tidak dijaga. Hal int persis peribahasa Melayu, bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian kerana berusaha untuk mendapatkan tubuh badan yang sempurna melalui amalan gaya hidup sihat. Sudah terang lagi bersuluh, amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah dan sukan dapat mengekalkan kecergasan tubuh badan dan kecerdasan otak.

            Seterusnya, anggota tubuh dalaman dapat berfungsi dengan baik jika seseorang mengamalkan gaya hidup sihat. Hal ini demikian kerana, tubuh dalaman tidak dapat dilihat melalui mata kasar manusia. Pemeriksaan kesihatan secara berkala di hospital atau klinik kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali dapat memastikan tahap kesihatan organ seseorang seperti fungsi jantung paru-paru dan buah pinggang. Sesungguhnya, mencegah lebih baik daripada merawat kerana seseorang dapat mengetahui tahap kesihatannya. Apabila organ dalaman dapat berfungsi dengan lebih baik, kehidupan seseorang akan lebih sihat dan produktif. Tegasnya, membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala dapat memastikan anggota tubuh dalaman berfungsi dengan baik.

           Di samping itu kepentigan amalan gaya hidup sihat ialah seseorang dapat memastikan tubuh badan mendapat khasiat dan vitamin yang mencukupi. Hal ini demikian kerana, badan seseorang memerluan khasiat yang cukup untuk menjalankan kehidupan sehariannya tanpa menghadapi masalah kesihatan. Misalnya seseorang mengambil makanan seimbang dalam kehidupan seharian seperti daging, buah buahan dan sayur-sayuran. Natijahnya, badan kita akan sentiasa kekal sihat seiring dengan kecerdasan minda dalam kehidupan seharian. Sesungguhnya, otak yang cerdas dapat membantu pekembangan diri dan sosial manusia. Jelaslah bahawa pemakanan yang seimbang mampu memastikan tubuh badan memperoleh nutrien yang mencukup bagi setiap individu.

         Kesimpulannya, semua pihak harus berganding bahu memainkan peranan untuk mengekalkan amalan gaya hidup sihat. Masyarakat harus mengamalkan amalan ini dengan hati dan minda yung terbuka. Hal ini agar rakyat Malaysia dapat mengamalkan amalan gaya hidup sihat dan mengelakkan masalah yang akan dihadapi jika tidak mengamalkan amalan ini seperti obesiti. Perkara ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

31/05/2018

Usaha/Inisiatif/Cara Pelbagai Pihak Untuk Membuktikan Rasa Cinta Akan Negara

          Dalam meniti arus kemodenan yang semakin berkembang pesat, masyarakat kini semakin kurang sifat cinta akan negara atau dikenali sebagai nilai patriotisme dalam diri masing-masing. Pihak-pihak media massa sering membincangkan isu ini di corong-corong radio dan akhbar-akhbar tempatan. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohammad menyatakan rasa kesalnya terhadap rakyat Malaysia yang semakin hilang jati diri dan semangat cinta akan negara dari semasa ke semasa. Situasi ini pesis peribahasa Melayu yang popular iaitu biar mati anak jangan mati adat yang dapat dikaitkan bahawa jangan sesekali sifat sayang akan negara menipis atau hilang dalam diri seseorang. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh pelbagai pihak untuk membuktikan rasa cinta akan negara?

         Berakar umbi daripada persoalan yang dinyatakan di atas, antara usaha yang boleh dilakukan oleh pihak media massa ialah menyebarkan informasi mengenai perjuangan wira terdahulu yang membuktikan bahawa mereka telah berjuang sehingga titisan darah yang terakhir demi mempertahankan negara yang mereka cintai dan sayangi. Usaha ini dilaksanakan demikian kerana rakyat Malaysia sewajarnya cakna dengan sejarah perjuangan tokoh-tokoh Malaysia yang terkemuka sekali gus menjadikannya sebagai iktibar dan panduan untuk mengekspresikan perasaan cinta akan negara. Tamsilnya, pihak yang mengendalikan sistem radio boleh menceritakan tokoh terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman yang merentas samudera untuk menguruskan urusan kemerdekaan di London demi melihat tanah airnya yang tercinta bebas daripada penjajahan asing. Kesan daripada peristiwa tersebut, Malaysia dapat mencapai kemerdekaannya tanpa sebarang pertumpahan darah dan pertelingkahan besar antara kaum-kaum di Malaysia pada ketika itu. Usaha yang dilaksanakan oleh Tunku Abdul Rahman sangat bertepatan dengan peribahasa Melayu harimau mati meninggalkan belang manusia mati meninggalkan nama. Tuntasnya, usaha untuk menunjukkan perasaan cinta akan negara dapat dilakukan oleh pihak media massa yang kini semakin berkembang.

          Jika ditelusuri dengan lebih mendalam, para belia yang menuntut di luar negara memakai baju kebangsaan negara merupakan salah satu daripada usaha-usaha untuk membuktikan rasa cinta akan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana pemakaian baju kebangsaan negara dapat menunjukkan dan memperkenalkan identiti negara kepada orang luar khususnya mereka yang tidak mengenali Malaysia. Sebagai contohnya, seorang penuntut universiti di luar negara memakai baju Melayu semasa menunaikan solat Jumaat di masjid dapat menarik perhatian penduduk tempatan sekali gus memperkenalkan Malaysia. Kesannya, orang luar negara dapat mengetahui tentang negara Malaysia yang kaya dengan adat dan budaya diwarisi sejak turun temurun bak kata pepatah tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Hasil daripada usaha penuntut universiti di luar negara ini akan membuatkan Malaysia berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan negara-negara hebat yang kaya dengan adat, budaya dan resam penuh dengan keunikkan tersendiri. Izharnya, penuntut universiti luar negara dapat membuktikan bahawa mereka cinta akan negara walaupun menetap di negara orang.

         Melalui perspektif yang berbeza, setiap inidividu yang menetap di Malaysia perlulah membeli produk tempatan untuk membuktikan bahawa mereka cintakan tanah air. Melalui usaha kecil ini dapat membuktikan sumbangan terhadap produk keluaran tempatan dan menunjukkan bahawa rakyat Malaysia menyokong seterusnya menggalakkan lagi pengeluaran produk-produk tempatan terutamanya yang dikeluarkan oleh pengusaha industri kecil sederhana (IKS). Tamsilnya, rakyat digalakkan untuk membeli produk beras berjenama 'Faiza' dan rempah ratus berjenama 'Adabi' yang dihasilkan oleh usahawan tempatan. Natijahnya, perkara ini dapat menyumbang kepada ekonomi negara dan membuktikan rasa cinta kepada negara Malaysia yang bertuah ini. Seringkali produk tempatan dipandang rendah tetapi yang kecil jangan disangka anak, yang besar jangan disangka bapa kerana kualitinya mampu menandingi produk-produk import yang lain. Oleh itu, individu mampu membuktikan perasaan cinta akan negara dengan membeli produk-produk keluaran tempatan.

          Jika diperhalusi dengan lebih teliti, antara usaha yang dapat dilakukan oleh pihak ibu bapa untuk membuktikan rasa cinta akan negara adalah dengan menyuburkan semangat patriotisme dalam setiap diri anak-anak. Hal ini harus dilaksanakan supaya generasi akan datang lebih menghargai dan mencintai tanah air mereka iaitu Malaysia. Usaha ini mampu merangsang generasi muda umtuk belajar bersungguh-sungguh dalam bidang masing-masing untuk mengharumkan nama Malaysia di peringakat antarabangsa. Ibu bapa boleh memupuk semangat ini dalam diri permata hati mereka dengan menceritakan perjuangan tokoh kemerdekaan dan penderitaan yang terpaksa dilalui oleh orang-orang dahulu semasa era penjajahan. Kesannya, anak-anak akan mendapat gambaran bahawa betapa teruknya keadaan negara jika dibawah penaklukan seterusnya menjadikan mereka rakyat lebih menghargai dan mencintai negara serta berazam untuk membangunkannya. Situasi ini persis peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah daripada rebungnya supaya mereka mencintai negara sendiri dari kecil dan bukannya negara luar. Tegasnya, peranan ibu bapa yang dimainkan dengan baik boleh membuktikan rasa cinta akan negara dengan menyalurkan semangat patriotisme itu kepada anak-anak mereka.

        Seterusnya, salah satu usaha untuk membuktikan rasa cinta akan negara mampu dilakukan oleh masyarakat setempat atau komuniti dengan mengadakan kempen cinta akan negara. Langkah ini diambil supaya masyarakat lebih menyedari kepentingan untuk mencintai negara sendiri. Tambahan pula, melalui kempen yang dijalankan dengan menarik dan mesra mampu untuk menarik minat golongan remaja untuk menabur bakti kepada negara melalui inisiatif mereka sendiri. Kempen disarankan untuk dilaksanakan pada hari yang boleh dihadiri oleh semua lapisan masyarakat seperti hari cuti am. Selain itu, kempen yang dilaksanakan perlulah dipenuhi dengan program yang dapat memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Impaknya, masyarakat akan menghargai dan mencintai negara serta mengetahui dengan lebih mendalam mengenai kepentingan cintakan negara Malaysia. Sudah terang lagi bersuluh, kempen cinta akan negara amat penting dalam usaha masyarakat untuk membuktikan rasa cinta akan negara.

        Konklusinya,semua pihak harus bekerjasama dalam usaha untuk menyemaikan rasa cinta akan negara, masyarakat perlulah berganding bahu untuk memajukan negara dan setia berbakti kepada negara sendiri bak kata pepatah "hujan emas di negeri orang,hujan batu di negeri sendiri". Semangat dan rasa cinta akan negara sangat penting dalam diri supaya rakyat lebih menghargai negara dan berusaha mempertahankannya daripada ancaman-ancaman anasir luar yang mampu memusnahkan negara Malaysia yang bertuah ini. Oleh itu, inisiatif yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak mampu mengubahnya.