Menurut Kamus Dewan edisi keempat, keluarga bermaksud seisi rumah tangga yang terdiri daripada suami dan isteri atau beserta anak-anak. Di dada-dada akhbar tempatan terutamanya Berita Harian sering memaparkan isu keluarga yang penyayang. Dalam sidang media baru-baru ini, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang keenam pernah berucap bahawa ahli keluarga terutama pihak ibu bapa perlu memberikan kasih sayang sepenuhnya kepad anak-anak supaya dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dalam kegiatan yang tidak bermoral. Setiap ahli keluarga perlu berusaha mempererat hubungan kekeluargaan persis peribahasa Melayu, air yang dicincang tak akan putus. Persoalannya, apakah langkah-langkah untuk melahirkan keluarga yang penyayang?
Pada pendapat saya, antara langkah untuk melahirkan keluarga yang penyayang ialah pihak ibu bapa perlu mencari nafkah yang halal untuk ahli keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana, nafkah yang diberikan kepada anak-anak akan membentuk mereka untuk menjadi seorang insan, sama ada menjadi insan yang berguna atau sebaliknya. Sebagai contohnya, ibu bapa membelikan makanan untuk anak-anak daripada sumber yang halal , mereka dapat membesar dengan sihat dan dapat menyumbang dalam pembangunan negara serta dapat melahirkan anggota keluarga yang bersih daripada perkara-perkara yang negatif. Benarlah, anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya . Ibu bapa perlulah menjadi inspiras8 kepada anak-anak untuk bekerja secara halal kerana peribahasa Melayu menyatakan, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Izharnya, nafkah halal yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak merupakan salah satu langkah melahirkan keluarga penyayang.
Dari kaca mata yang sama, ibu bapa sebagai suri teladan kepada anak-anak juga merupakan salah satu langkah untuk melahirkan keluarga yang penyayang. Peranan ibu bapa dalam usaha membentuk keluarga sakinah adalah amat penting. Ibu bapa perlu menjadi uswah teladan kepada anak-anak supaya dapat dicontohi oleh mereka. Tamsilnya, seorang bapa boleh berbicara dengan penuh kelembutan apabila berkomunikasi dengan isteri dan anak-anak selain ahli keluarga saling menghormati antara satu sama lain. Kata orang, yang tua dihormati yang muda disayangi, barulah keluarga harmoni. Apabila anak-anak melihat keharmonian kedua-dua orang tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu apabila berinteraksi sesama mereka kerana bagaimana rentak begitulah tarinya. Tegasnya, tingkah laku baik yang dipaparkan oleh ibu bapa kepada anak-anak bakal dapat mewujudkan keluarga yang bahagia kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Jika ditelusuri dengan lebih teliti, pemberian didikan agama dan moral yang sempurna dalam kalangan generasi muda daripada pihak ibu bapa juga dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga yang bahagia dan penyayang. Hal ini disebabkan oleh pegangan agama serta nilai moral yang kuat membentuk nilai sahsiah yang tinggi dalam kalangan generasi muda. Kualiti ini akan melahirkan ibu dan bapa yang bertanggungjawab serta dapat memikul tugas membangunkan rumah tangga dengan efektif. Golongan yang berpendidikan agama ini akan mampu mewujudkan persefahaman dan perasaan tolak ansur sesama suami isteri. Kesabaran iman yang tebal juga akan mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai disebabkan alasan yang kadangkala tidak munasabah. Sebagai ibu bapa, mereka perlu memberikan didikan agama yang kukuh serta menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral dalam kalangan anak-anak. Anak-anak yang sopan akan menghormati orang tua mereka dan saling bekerjasama sesama adik-beradik. Benarlah kata orang tua-tua, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Maka, jika semangat ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga, sudah pasti sebuah keluarga yang mantap dan harmoni dapat dilahirkan.
Melihat dari perspektif yang lain, pihak jawatankuasa perumahan mestilah mengadakan aktiviti yang berunsurkan kerjasama antara ahli keluarga sebagai salah satu cara untuk melahirkan keluarga penyayang. Pihak jawatankuasa perumahan bolehlah mengadakan hari gotong-royong di sekitar rumah ataupun Hari Keluarga demikian penduduk yang menetap di kawasan perumahan tersebut. Hal ini demikian kerana, melalui aktiviti sebegini setiap ahli keluarga akan melibatkan diri secara langsung mahupun secara tidak langsung. Melalui inisiatif ini, hubungan mereka akan lebih erat antara satu sama lain menyebabkan perasaan kasih sayang juga akan lahir dalam diri ahli keluarga. Satu slogan ada menyatakan bahawa 'Keluarga Bahagia Negara Sejahtera'. Hal ini jelas menunjukkan bahawa negara memerlukan keluarga bahagia untuk negara yang sejahtera. Tegasnya, inisiatif ini memainkan peranan yang penting terhadap masyarakat untuk melahirkan keluarga yang penyayang dan bahagia
Jika dikaji dengan lebih mendalam, antara langkah bagi melahirkan keluarga penyayang ialah ibu bapa perlu meluangkan masa dengan anak-anak. Hal ini vital bagi memastikan ibu bapa dapat merapatkan hubungan dengan anak-anak sekali gus tiada jurang antara satu sama lain. Apabila tiada jurang antara ibu bapa dengan anak-anak, sudah tentu anak-anak akan menjadi selesa untuk meluahkan masalah mereka kepada ibu bapa. Dengan ini, ibu bapa dapat mengetahui perkembangan anak-anak dari segi aktiviti yang dilakukan dan pergaulan dengan rakan-rakan mereka. Misalnya, antara aktiviti yang dapat dilakukan antara ibu bapa dengan anak-anak ialah melancong, membeli-belah barangan dapur dan memasak . Usaha ini, perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam agar anak-anak dapat diselamatkan daripada kancah negatif dari peringkat awal bersesuaian dengan peribahasa mencegah lebih baik daripada mengubati. Maka, izharlah bahawa salah satu inisiatif bagi melahirkan keluarga penyayang ialah ibu bapa perlu meluangkan masa dengan anak-anak.
Secara intihanya, terdapat pelbagai sinergi yang proaktif dan pragmatik dapat diimplimentasikan bagi melahirkan keluarga penyayang. Sinergi yang padu daripada semua pihak penting bagi memastikan keluarga penyayang dapat diwujudkan sekali gus melahirkan remaja yang progresif kerana golongan inilah yang akan memegang tampuk pemerintahan pada masa akan datang. Setiap usaha daripada badan kerajaan dan bukan kerajaan amat signifikan bagi memastikan keluarga yang penyayang dapat dilahirkan. Kejayaan sesebuah institusi yang besar iaitu negara dapat dicapai melalui kejayaan institusi yang kecil iaitu keluarga. Oleh itu, semua rakyat Malaysia perlu bersama-sama menggembleng tenaga bagi melahirkan keluarga penyayang