14/01/2018

Peranan / Tanggungjawab / Tindakan Setiap Ahli Keluarga dalam Menangani Implikasi Negatif Media Sosial dalam Kalangan Anak-anak

 Media sosial merupakan salah satu medium perhubungan dan penyebaran maklumat serta menjadi tarikan segenap lapisan masyarakat khususnya golongan remaja. Di dada-dada akhbar tempatan terutamanya Berita Harian sering mengutarakan rencana berkaitan implikasi negatif media sosial kepada penggunanya. Dalam sidang media baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak mengatakan bahawa ibu bapa sebagai ahli keluarga yang paling rapat dengan anak-anak perlu memainkan peranan dalam menangani implikasi negatif media sosial dalam kalangan anak-anak. Hal ini bertujuan untuk melahirkan modal insan yang dapat menerajui pucuk kepemimpinan negara pada masa akan datang. Persoalannya, apakah peranan setiap ahli keluarga dalam menangani implikasi negatif media sosial dalam kalangan anak-anak?

     Berakar umbi daripada persoalan tersebut, antara peranan ahli keluarga dalam menangani implikasi negatif media sosial dalam kalangan anak-anak ialah ibu bapa memberikan didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Hal ini amat signifikan kerana anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Ibu bapa boleh mengajar dan mendidik anak-anak untuk membezakan antara perkara yang hak dan batil. Sebagai contohnya, ibu bapa menjelaskan tentang pengaruh Barat yang disiarkan menerusi 'Youtube' dan menjadi ikutan ramai tetapi bertentangan dengan nilai moral masyarakat Timur. Benarlah pepatah Melayu yang menyatakan melentur buluh biarlah daripada rebungnya kerana ibu bapa perlu mendidik anak-anak dengan didikan agama sejak mereka kecil supaya tidak terjerumus dengan gejala negatif berkaitan media sosial. Tuntasnya, didikan agama yang secukupnya merupakan salah satu peranan ahli keluarga iaitu ibu bapa untuk mengatasi implikasi negatif media sosial dalam kalangan anak-anak.

     Dalam perspektif yang sama, ibu bapa berperanan mengehadkan tempoh anak-anak untuk melayari media sosial seperti 'Facebook', 'Twitter', dan 'Instagram' memerlukan penggunaan akses Internet. Ibu bapa mempunyai hak untuk menyekat akses Internet tersebut dan mengawal tempoh penggunaannya agar anak-anak akan lebih menghargai masa. Sebagai tamsilnya, ibu bapa menetapkan bahawa anak-anak hanya boleh menggunakan Internet sehingga pukul sepuluh malam kerana anak-anak perlu mendapatkan tidur yang berkualiti supaya tidak mengganggu proses pembelajarannya pada esok hari. Perkara ini persis peribahasa Melayu , berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian agar mereka mendapat manfaat daripada usaha mengehadkan masa penggunaan Internet yang dilaksanakan oleh ibu bapa. Izharnya, tempoh untuk anak-anak melayari media sosial perlu dihadkan oleh ibu bapa untuk mengelakkan implikasi negatif media sosial menular dalam diri anak-anak.

     Jika dilihat pada peranan ahli keluarga yang lain, kakak boleh menasihati dan membimbing adik menggunakan laman sosial secara berhemah. Hal ini dikatakan demikian kerana kakak lebih mengetahui buruk baik media sosial dan tutur katanya sering dipatuhi oleh adik. Kakak perlu memberitahu adik mengenai bahana penyalahgunaan media sosial terhadap adik-adik dan menegur mereka. Hal ini akan menjadikan adik-adik lebih berdisiplin dan menggunakan media sosial secara efektif seperti melayari laman web yang berkaitan dengan pendidikan di sekolah. Situasi ini persis peribahasa Melayu, bagaimana acuan begitulah kuihnya kerana apa yang diajarkan kepada adik-adik, perkara itulah yang akan diturutinya. Tegasnya, peranan kakak dalam menangani implikasi negatif media sosial amat penting kerana kakak adalah orang yang paling rapat dalam ahli keluarga.

       Di samping itu, seorang abang perlu memasang aplikasi yang boleh menyekat laman sesawang yang tidak berfaedah. Hal ini supaya adik-adik mereka terutamanya tidak terdedah dengan perkara yang tidak elok. Uswahnya, abang memuat turun aplikasi gempur-organisasi yang boleh menyekat sebarang aplikasi negatif seperti didigames.com. Adik-adik akan terhindar daripada pengaruh negatif dalam media sosial dan terjebak dengan jenayah siber. Oleh yang demikian, adik-adik akan lebih positif dalam kehidupan seharian sekali gus dapat melahirkan modal insan yang berguna kepada negara dan agama. Izharnya, sebagai seorang abang yang bertanggungjawab perlulah mengambil inisiatif dengan menyekat laman sesawang yang memudaratkan.

      Jika ditelusuri dengan lebih mendalam, antara peranan ibu bapa dalam menangani implikasi negatif media sosial dalam kalangan anak-anak ialah ibu bapa mengawasi penggunaan media sosial anak-anak. Ibu bapa perlu mengetahui laman web dan media sosial yang dilayari anak-anak. Hal ini bertujuan mengelakkan anak-anak daripada melayari perkara yang tidak elok seperti laman kongsi gelap dan pornografi. Sebagai contohnya, ibu bapa memeriksa telefon pintar anak-anak supaya mereka tidak terlibat dengan perkara yang negatif dan boleh mengundang musibah. Tindakan ini membolehkan ibu bapa mengelakkan anak-anak daripada terpengaruh dengan perkara negatif. Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa perlu mengawasi penggunaan media sosial anak-anak supaya implikasi negatif media sosial dapat ditangani.

      Konklusinya, keluarga memainkan peranan yang sangat penting untuk menangani implikasi negatif media sosial dalam kalangan anak-anak. Hal ini kerana keluarga merupakan guru pertama anak-anak di dunia ini. Hal ini supaya generasi yang lebih bermoral dan berwawasan dapat dilahirkan jika tidak terpengaruh dengan implikasi negatif media sosial yang akan menaikkan dan mengharumkan nama negara. Perkara ini persis peribahasa Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Oleh yang demikian, penggunaan media sosial perlu dikawal dan ditapis bahannya daripada perkara yang boleh menjerumuskan ke arah gejala negatif yang berkaitan dengan media sosial.