18/02/2018

Kesan / Implikasi / Natijah Permainan Video yang Tidak Terkawal Dalam Golongan Remaja

      Permainan video semakin meluas dimainkan di seluruh dunia oleh pelbagai golongan masyarakat. Di dada-dada akhbar tempatan terutamanya Berita Harian sering mengutarakan rencana mengenai pelbagai permainan video seperti 'Dota', 'Pokemon Go', dan 'Candy Crush Saga' yang semakin menjadi kegilaan remaja kini khususnya. Seorang aktivis sosial yang terkenal pernah menyatakan bahawa permainan video yang menjadi kegilaan remaja kini telah mempengaruhi kehidupan seharian mereka tanpa disedari. Permainan video dan remaja tidak dapat dipisahkan ibarat isi dengan kuku. Persoalannya, apakah kesan-kesan permainan video yang tidak terkawal terhadap remaja?

      Berakar umbi daripada persoalan di atas, salah satu natijah permainan video yang tidak terkawal terhadap remaja adalah menjejaskan kesihatan mereka. Hal ini berlaku demikian kerana apabila mereka dipengaruhi permainan video, remaja akan lebih mementingkannya lebih daripada diri sendiri. Sebagai contohnya, remaja akan meninggalkan waktu makannya kerana terasa taasub dengan permainan video. Apabila corak pemakanan seseorang tidak teratur, kesihatannya akan terjejas kerana tidak mendapat nutrien dan zat yang secukupnya untuk membesar dan melawan penyakit dan menurunkan tahap ketahanan imuniti seseorang. Tambahan pula, masa tidur mereka akan terganggu kerana perembesan hormon yang merangsang mengantuk iaitu hormon melatonin terbantut akibat mata terdedah kepada cahaya daripada alat permainan video. Jelaslah, kesihatan remaja akan terjejas akibat daripada permainan video yang tidak terkawal.

      Seterusnya, prestasi pelajaran remaja yang merosot merupakan salah satu kesan daripada permainan video yang tidak terkawal. Remaja akan menghabiskan masa mereka dengan bermain permainan video berbanding mengulang kaji pelajaran, membuat tugasan dan kerja rumah yang diberikan oleh guru mereka. Perkara ini membuatkan prestasi akademik mereka semakin menurun dari semasa ke semasa dan akan merisaukan pihak sekolah dan ibu bapa. Natijahnya, remaja akan memandang enteng terhadap pelajaran dan tidak berusaha untuk meningkatkan prestasi akademik mereka serta tidak mempunyai sifat berdaya saing bak kata peribahasa Melayu kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Tuntasnya, salah satu akibat permainan video yang tidak terkawal adalah prestasi pelajaran remaja akan merosot.

     Jika diperhalusi dengan lebih teliti, permainan video yang tidak terkawal akan melahirkan remaja yang berfikiran jumud . Hal ini berlaku demikian kerana mereka tidak berusaha memajukan diri dan bercita-cita tinggi. Perkara ini terjadi kerana mereka tidak terdedah kepada dunia luar dan isu semasa kerana lebih rela menghabiskan masa yang sangat berharga untuk bermain permainan video daripada berusaha meluaskan horizon pemikiran mereka agar lebih terbuka dengan dunia luar. Keadaan mereka ini tidak ubah seperti katak di bawah tempurung kerana tidak berfikiran di luar kotak dan hanya berada di dalam khayalan dan fatamorgana permainan video mereka sahaja. Hala tuju diri remaja pada masa hadapan juga tidak dirangka dengan baik dan hanya berpegang pada konsep berserah dan reda semata-mata. Sudah terang lagi bersuluh, pemikiran remaja yang mundur merupakan salah satu kesan permainan video yang tidak terkawal.

      Dalam konteks yang sama, remaja akan menjadi remaja yang tidak tahu bersosial dan berkomunikasi dengan baik merupakan akibat permainan video yang tidak terkawal. Remaja tidak tahu cara bersosial atau berinteraksi dengan orang sekeliling secara berkesan. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka tidak mempunyai peluang untuk memulakan perbualan berikutan begitu sibuk dengan permainan video yang sangat digila-gilakan . Kesannya, mereka akan sering dianggap sebagai kera sumbang kerana tidak bercampur dengan rakan-rakan mereka disebabkan terperap di dalam bilik untuk bermain permainan video. Tambahan pula, mereka tidak dapat mengasah keyakinan untuk bercakap di hadapan khalayak umum. Situasi yang berlaku ini menjadikan remaja tidak mempunyai kemahiran interpersonal. Tegasnya, permainan video yang tidak terkawal menyebabkan remaja tidak tahu bersosial dan tidak yakin terhadap diri sendiri.

     Selanjutnya, antara natijah permainan video yang tidak terkawal kepada remaja adalah hubungan kekeluargaan yang semakin renggang. Hal ini disebutkan demikian kerana remaja tidak meluangkan masa mereka dengan ahli keluarga kerana terlalu sibuk dengan permainan video dan banyak memberikan alasan apabila ditegur. Sebagai contohnya, semasa menunggu makanan yang dipesan di restoran untuk siap dihidangkan, ahli keluarga seyogianya memanfaatkan masa tersebut untuk bergurau senda dan berinteraksi berbanding bermain permainan video supaya tidak persis peribahasa Melayu seperti enau di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Melalui interaksi antara ahli keluarga akan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan supaya menepati pepatah bagai air dicencang tak akan putus. Izharnya, hubungan kekeluargaan akan renggang akibat daripada permainan video yang tidak terkawal oleh golongan remaja yang menjadi harapan negara ini.

       Kesimpulannya, terdapat pelbagai kesan yang dialami remaja akibat permainan video yang tidak terkawal. Oleh yang demikian, remaja harus mempunyai keazaman yang tinggi untuk mengongkong permainan video daripada mempengaruhi kehidupan para remaja kerana bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Melalui keazaman ini, diharapkan dapat melahirkan remaja yang cemerlang dalam pelajaran, sihat tubuh badan, berfikiran terbuka, bijak berkomunikasi dan bersosial serta mempunyai hubungan yang baik dengan ahli keluarga. Remaja yang mempunyai ciri-ciri di atas akan dapat memajukan negara kerana menjadi tokoh terbilang Saidina Ali bin Abi Talib pernah berkata bahawa untuk melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah anak mudanya kerana mereka merupakan penentu arah tuju negara pada masa hadapan agar lebih maju dan setanding dengan negara yang hebat.