07/10/2020

Peranan Ibu Bapa Dalam Menjamin Keselamatan Anak-Anak - Perenggan Isi Sahaja, Tips IMBAKUP

     Selamat sejahtera kepada pembaca blog karangan saya. Harini saya akan kongsikan tips untuk merangka perenggan isi. Teknik yang selalu sya gunakan ialah IMBAKUP. Untuk memudahkan pemahaman kalian, saya sertakan contoh seperti di bawah. 

 

Isi Pertama

 Isi

Antara peranan ibu bapa dalam menjamin keselamatan anak-anak ialah ibu bapa perlulah menasihati anak mereka supaya bijak dalam memilih rakan.

 Mengapa

Hal ini demikian kerana dalam alam persekolahan, anak-anak lebih banyak bergaul dengan rakan-rakan berbanding ibu bapa.

 Bagaimana

Sebagai contohnya, ibu bapa menegur dan mendidik anak-anak untuk bijak memilih rakan seperti berkawan dengan pelajar yang merupakan ulat buku ataupun mereka yang mempunyai personaliti yang baik.

 Kesan

Perkara ini bukan sahaja mendorong anak-anak untuk belajar bersungguh-sungguh tetapi juga mendorong anak-anak untuk membuat keputusan yang rasional melalui pemilihan rakan secara bijak yang dipraktikkannya.

 Ungkapan Menarik

Bak kata peribahasa melayu, ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Ibu bapa haruslah mendidik anak-anak dengan sikap yang positif sejak mereka kecil.

 Penegasan

Jelaslah di sini bahawa nasihat dan didikan yang diberikan oleh ibu bapa memberi impak dalam usaha untuk menjamin keselamatan anak-anak serta membentuk mereka menjadi insan yang berguna.


 Isi Kedua

 Isi

Selain itu, peranan ibu bapa dalam menjamin keselamatan anak-anak ialah ibu bapa perlulah mengehadkan penggunaan internet bagi anak-anak.

 Mengapa

Hal ini demikian kerana generasi muda zaman sekarang terlalu terdedah dengan kemajuan dan kecanggihan dalam bidang teknologi .Pendedahan tersebut menjadi pendorong kepada berlakunya kes penculikan atau perkara yang tidak diingini.

 Bagaimana

Sebagai contohnya, anak-anak yang berumur lingkungan 12 tahun sudah mempunyai pelbagai akaun laman sosial seperti instagram, twitter, facebook  dan sebagainya.

 Kesan

Mereka berisiko tinggi untuk berinteraksi dengan penculik melalui akaun laman sosial tersebut serta menyebabkan mereka mudah untuk dijejaki sekiranya memuat naik lokasi di mana mereka berada.

 Ungkapan Menarik

Bak kata peribahasa Melayu, ‘Bagaimana acuan,begitulah kuihnya’.Ibu bapa haruslah menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak.

 Penegasan

Jelaslah di sini bahawa ibu bapa perlu mengehadkan penggunaan internet bagi anak-anak supaya perkara buruk yang boleh berlaku dapat dielakkan.

 

Isi Ketiga

 Isi

Seterusnya, ibu bapa perlulah mengambil tahu tentang pergerakan anak-anak seandainya mereka ingin keluar dari rumah.

 Mengapa

Hal ini demikian kerana pengetahuan tentang destinasi yang dituju atau pergerakan anak-anak dapat membantu ibu bapa untuk mengurangkan risiko kes penculikan daripada berlaku.

 Bagaimana

Sebagai contohnya, anak-anak terutama golongan remaja pasti akan bertemu rakan-rakan meraka apabila keluar dari rumah. Kebiasaannya mereka akan bertemu si sebuah pusat beli-belah dan melakukan aktiviti seperti menonton wayang.

 Kesan

Tindakan yang sedemikian iaitu tindakan ibu bapa mengambil tahu pergerakan anak-anak dapat memastikan destinasi yang mereka tuju adalah selamat dan tidak berisiko tinggi untuk perkara yang tidak diingini berlaku.

 Ungkapan Menarik

‘Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’. Ibu bapa perlulah mengambil langkah drastik iaitu dengan mengamil tahu hala tuju anak-anak supaya keselamatan mereka terjamin.

 Penegasan

Jelaslah di sini bahawa ibu bapa harus memantau pergerakan anak-anak agar risiko untuk berlaku kes penculikan dapat dikurangkan.


 Isi Keempat

 Isi

Selanjutnya, antara peranan ibu bapa dalam menjamin keselamtan anak-anak ialah ibu bapa hendaklah menggalakkan anak-anak mereka untuk mempelajari ilmu mempertahankan diri.

 Mengapa

Hal ini diperkatakan sedemikian kerana anak-anak mudah untuk mengikuti ajakan orang yang tidak dikenali selepas ditabur ayat- ayat manis. Melalui ilmu mempertahankan diri yang dipelajari anak-anak, mereka boleh melindungi diri sendiri dan mengelakkan mereka daripada mudah terpengaruh dengan ajakan individu yang tidak dikenali.

 Bagaimana

Misalnya, ibu bapa mendedahkan anak-anak dengan ilmu mempertahankan diri seperti silat dan taekwondo serta menggalakkan anak-anak mereka untuk mengikuti latihan yang dijalankan.

 Kesan

Anak-anak akan lebih berdisiplin apabila mereka sering mengikuti latihan kerana setiap ilmu mempertahankan diri sememangnya terkenal dengan disiplin yang diamalkan. Mental dan fizikal anak-anak juga akan berfungsi dengan lebih baik.

Ungkapan Menarik

Bak kata pepatah, ‘Belakang parang kalau diasah lagikan tajam’. Ibu bapa harus mempercayai bahawa anak-anak boleh berubah menjadi lebih baik dan berupaya untuk mempertahankan diri mereka setelah menguasai ilmu mempertahankan diri.

 Penegasan

Sudah terang lagi bersuluh, penggalakkan ibu bapa agar anak-anak mempelajari ilmu mempertahankan diri dapat membentuk anak-anak menjadi lebih bail dan mengurangkan risiko kes penculikan.

 

Isi Kelima

 Isi

 Akhir sekali meluangkan masa dengan anak-anak juga merupakan antara peranan ibu bapa dalam menjamin keselamatam anak-anak

 Mengapa

Hal ini demikian kerana apabila ibu bapa  meluangkan masa dengan anak-anak aktiviti anak-anak lebih terancang dan mengeluarkan anak-anak  daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah

 Bagaimana

Sebagai contohnya,ibu bapa membawa anak –anak melawat tempat tempat menarik seperti muzium dan zoo

 Kesan

Anak anak dapat mengetahui tentang sejarah sekali gus menambahkan pengetahuan mereka yang boleh diguna pakai dalam pelajaran di sekolah

 Ungkapan Menarik

Seperti cogan kata, masa itu emas. Ibu bapa harus memanfaatkan masa terluang mereka bersama anak-anak agar dapat mengelakkan anak-anak berasa terabai sekaligus menjaga keselamatan mereka.

 Penegasan

Jelaslah di sini bahawa ibu bapa perlu meluangkan masa dengan anak-anak supaya keselamatan mereka terjamin.


 


26/06/2020

Usaha Melestarikan Warisan Seni Budaya


                    Kebudayaan warisan bangsa boleh ditakrifkan sebagai kebudayaan sesuatu bangsa yang amat dihargai oleh rakyat dan diturunkan dari generasi ke generasi yang lain. Kebudayaan warisan bangsa merujuk budaya yang sudah diamalkan sejak berkurun lamanya oleh sesuatu bangsa itu. Antara kebudayaan itu meliputi pakaian, makanan dan juga bahasa yang begitu diagungkan oleh setiap kaum itu kerana itulah identiti mereka. Pihak media massa juga ada menyiarkan pelbagai ulasan mereka tentang kebudayaan warisan kita yang semakin terhakis terutama dalam jiwa remaja zaman moden dan kontemporari ini. Lantaran itu, pelbagai langkah susulan boleh diambil untuk memastikan kebudayaan warisan ini terus berkekalan.

Langkah awal sudah pasti melibatkan penggunaan kempen kesedaran yang berkesan oleh pihak berkuasa. Kempen ini disiarkan melalui media massa dengan menggunakan tokoh budaya sebagai jurucakap kempen itu bersama-sama informasi yang lengkap tentang kebudayaan kita. Kaedah ini memastikan remaja memahami dan mengetahui mengenai kebudayaan sendiri dengan mudah dan menarik pula lalu timbul perasaan menghargainya. Jadi, kempen yang efektif berupaya untuk memastikan kebudayaan ini terus berkekalan.

Selain itu, pihak berkuasa boleh menubuhkan pelbagai agensi dan institusi latihan yang berkaitan dengan kebudayaan ini dan bertindak sebgai tulang belakang. Peranan agensi ini adalah untuk melancarkan program berkaitan dengan kebudayaan sepanjang tahun dan institusi ini pula berpeluang melatih remaja tentang aspek kebudayaan itu dengan baik bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sudah pasti ramai remaja kita akan mahir dalam tarian, seni tukang, lukisan corak batik dan nyanyian dondang sayang itu. Jelaslah, kewujudan agensi khas dan institusi latihan menjamin kebudayaan kita ini terus wujud dalam sanubari remaja kita pula.

Bukan sahaja kempen dilancarkan dan agensi serta insitusi ditubuhkan tetapi perubahan minda masyarakat terhadap kebudayaan juga harus berlaku dengan drastiknya. Masyarakat terutama ibu bapa sering memandang rendah aktiviti atau kerjaya dalam bidang kebudayaan dengan alasan tiada prospek masa depan. Sepatutnya orang yang lebih berusia akan lebih menghargai seni kebudayaan tetapi jika ibu bapa yang tidak melihat kebudayaan sesuatu yang baik sudah pasti remaja lebih tidak rela untuk melibatkan dirinya dalam sebarang aktiviti budaya ini kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Sesungguhnya, persepsi masyarakat yang kelirulah yang menyebabkan kebudayaan kita terus hilang ditelan dek zaman.

Malah, pemberian pelbagai insentif daripada pihak kerajaan boleh memberikan galakan agar masyarakat menghargai kebudayaan ini. Pemberian insentif itu meliputi pemberian geran kewangan, biasiswa, kemudahan pinjaman dan sebagainya yang memudahkan pihak tertentu untuk mengikuti latihan atau menganjurkan program berunsur kebudayaan ini. Jika lebih banyak aktiviti kebudayaan boleh dianjurkan sudah pasti tahap kefahaman masyarakat tentang kepentingan kebudayaan itu amat dihargai pula. Oleh itu, insentif yang betul dan banyak serta mudah memberikan satu peluang untuk kebudayaan ini terus wujud di Malaysia.

Tambahan pula, kebudayaan warisan negara ini boleh diteruskan melalui pengawalan budaya asing ke negara ini. Maksudnya, semua program televisyen yang berunsur budaya kuning hendaklah dipantau oleh pihak berkuasa kerana penghakisan kebudayaan warisan negara ini berlaku disebabkan oleh mudahnya budaya luar meresap ke dalam jiwa remaja. Kesukaran untuk melihat budaya luar mengurangkan risiko buat remaja untuk mengikuti budaya yang tidak sesuai itu malah tidak berminat untuk menirunya. Maka, tindakan tegas untuk mengawal kehadiran budaya luar menjadi benteng asas memastikan kebudayaan warisan kita ini terus wujud untuk beberapa dekad akan datang pula.

Kesimpulannya, semua tindakan yang disuarakan tadi memang praktikal untuk dilaksanakan di Malaysia. Kerjasama semua pihak terutama remaja itu amat diperlukan agar kebudayaan kita ini terus berkekalan. Kegagalan untuk mengekalkan kebudayaan sendiri boleh menyebabkan imej negara dan masyarakat itu sendiri akan musnah dalam sekelip mata sahaja. Bak kata pepatah 'tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan' yang membuktikan betapa pentingnya kebudayaan sesebuah bangsa itu dalam kehidupan.