Kebudayaan warisan bangsa boleh ditakrifkan sebagai kebudayaan sesuatu bangsa yang amat dihargai oleh
rakyat dan diturunkan dari generasi ke generasi yang lain. Kebudayaan warisan bangsa merujuk budaya yang sudah diamalkan sejak
berkurun lamanya oleh sesuatu bangsa itu. Antara kebudayaan itu meliputi
pakaian, makanan dan juga bahasa yang begitu diagungkan oleh setiap kaum itu kerana itulah identiti mereka.
Pihak media massa juga ada menyiarkan pelbagai ulasan mereka tentang kebudayaan
warisan kita yang semakin terhakis terutama dalam jiwa remaja zaman moden dan kontemporari ini.
Lantaran itu, pelbagai langkah susulan boleh diambil untuk memastikan
kebudayaan warisan ini terus berkekalan.
Langkah awal sudah pasti melibatkan
penggunaan kempen kesedaran yang berkesan oleh pihak berkuasa. Kempen ini
disiarkan melalui media massa dengan menggunakan tokoh budaya sebagai jurucakap
kempen itu bersama-sama informasi yang lengkap tentang kebudayaan kita. Kaedah
ini memastikan remaja memahami dan mengetahui mengenai kebudayaan sendiri
dengan mudah dan menarik pula lalu timbul perasaan menghargainya. Jadi, kempen
yang efektif berupaya untuk memastikan kebudayaan ini terus berkekalan.
Selain itu, pihak berkuasa boleh menubuhkan
pelbagai agensi dan institusi latihan yang berkaitan dengan kebudayaan ini dan bertindak sebgai tulang belakang.
Peranan agensi ini adalah untuk melancarkan program berkaitan dengan kebudayaan
sepanjang tahun dan institusi ini pula berpeluang melatih remaja tentang aspek
kebudayaan itu dengan baik bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sudah pasti ramai remaja kita akan mahir dalam
tarian, seni tukang, lukisan corak batik dan nyanyian dondang sayang itu.
Jelaslah, kewujudan agensi khas dan institusi latihan menjamin kebudayaan kita
ini terus wujud dalam sanubari remaja kita pula.
Bukan sahaja kempen dilancarkan dan agensi
serta insitusi ditubuhkan tetapi perubahan minda masyarakat terhadap kebudayaan
juga harus berlaku dengan drastiknya. Masyarakat terutama ibu bapa sering
memandang rendah aktiviti atau kerjaya dalam bidang kebudayaan dengan alasan
tiada prospek masa depan. Sepatutnya orang yang lebih berusia akan lebih menghargai seni kebudayaan tetapi jika ibu bapa yang tidak melihat kebudayaan sesuatu yang baik
sudah pasti remaja lebih tidak rela untuk melibatkan dirinya dalam sebarang aktiviti
budaya ini kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Sesungguhnya, persepsi masyarakat yang kelirulah yang menyebabkan
kebudayaan kita terus hilang ditelan dek zaman.
Malah, pemberian pelbagai insentif daripada
pihak kerajaan boleh memberikan galakan agar masyarakat menghargai kebudayaan
ini. Pemberian insentif itu meliputi pemberian geran kewangan, biasiswa,
kemudahan pinjaman dan sebagainya yang memudahkan pihak tertentu untuk
mengikuti latihan atau menganjurkan program berunsur kebudayaan ini. Jika lebih
banyak aktiviti kebudayaan boleh dianjurkan sudah pasti tahap kefahaman
masyarakat tentang kepentingan kebudayaan itu amat dihargai pula. Oleh itu,
insentif yang betul dan banyak serta mudah memberikan satu peluang untuk
kebudayaan ini terus wujud di Malaysia.
Tambahan pula, kebudayaan warisan negara
ini boleh diteruskan melalui pengawalan budaya asing ke negara ini. Maksudnya,
semua program televisyen yang berunsur budaya kuning hendaklah dipantau oleh
pihak berkuasa kerana penghakisan kebudayaan warisan negara ini berlaku
disebabkan oleh mudahnya budaya luar meresap ke dalam jiwa remaja. Kesukaran
untuk melihat budaya luar mengurangkan risiko buat remaja untuk mengikuti
budaya yang tidak sesuai itu malah tidak berminat untuk menirunya. Maka, tindakan tegas untuk mengawal kehadiran
budaya luar menjadi benteng asas memastikan kebudayaan warisan kita ini terus
wujud untuk beberapa dekad akan datang pula.
Kesimpulannya, semua tindakan yang
disuarakan tadi memang praktikal untuk dilaksanakan di Malaysia. Kerjasama
semua pihak terutama remaja itu amat diperlukan agar kebudayaan kita ini terus
berkekalan. Kegagalan untuk mengekalkan kebudayaan sendiri boleh menyebabkan
imej negara dan masyarakat itu sendiri akan musnah dalam sekelip mata sahaja.
Bak kata pepatah 'tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan' yang membuktikan
betapa pentingnya kebudayaan sesebuah bangsa itu dalam kehidupan.