19/12/2021

Usaha Memajukan Sektor Pelancongan Negara (3 isi sahaja)

    Sektor pelancongan merupakan satu bidang yang berkaitan dengan kedatangan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara ke negara kita. Mantan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam telah menggunakan slogan Melawat Melaka Bererti Malawat Malaysia untuk menggalakkan pelancong datang ke negeri Melaka. Hal ini amat bertepatan kerana negeri Melaka memang sudah terkenal dengan sejarah kesultanan Melayu Melaka dan penjajahan Baratnya. Sebenarnya, semua negeri di Malaysia sedang mengambil langkah yang sama dalam hal ini memandangkan sektor ini boleh menjana pendapatan yang sangat lumayan. Oleh itu, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita?


    Antara usaha yang boleh dilakukan untuk memajukan sektor pelancongan di Malaysia ialah pengusaha industri pelancongan mestilah meningkatkan prasarana pelancongan di Malaysia Hal ini amat signifikan kerana kemudahan asas ini bagaikan pakej pelancongan lengkap yang perlu disediakan dalam segenap aspek demi keselesaan pelancong dari luar negara ataupun pelancong tempatan. Sebagai contohnya, pengangkutan awam dan penginapan merupakan dua perkara yang perlu menjadi prioriti pemacu industri pelancongan.Usaha syarikat penerbangan akhir-akhir ini telah berjaya meningkatkan kemasukan pelancong asing. Manakala pembinaan hotel-hotel yang rancak ibarat peribahasa Melayu, bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, akan menggalakkan industri pelancongan negara. Jelaslah, pemantapan prasarana yang diusahakan oleh pemacu industri pelancongan terus menggamit para pelancong lantas memajukan sektor pelancongan negara ini.


    Selain itu, antara usaha yang boleh diaplikasikan untuk memajukan sektor pelancongan di Malaysia ialah pihak yang bertanggungjawab haruslah mewartakan kawasan pelancongan baharu. Hal ini amat penting kerana kawasan pelancongan baharu akan menarik perhatian lebih ramai pelancong untuk merasai dan menikmati kawasan pelancongan yang belum pernah mereka terokai. Sebagai contohnya, kerajaan negeri ataupun pengusaha industri pelancongan mewartakan kawasan di tepian pantai untuk dimajukan serta dijadikan sebagai kawasan pelancongan yang baharu. Jelaslah di sini, pengusaha industri pelancongan sepatutnya mengambil langkah awal dengan mewartakan kawasan pelancongan baharu untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita.


    Akhir sekali, antara usaha yang boleh dilakukan untuk memajukan sektor pelancongan di Malaysia ialah agensi-agensi tertentu perlulah mempromosikan produk pelancongan. Hal ini amat efektif kerana para peniaga dapat memajukan penjualan seperti kraftangan mereka di samping menarik minat para pelancong untuk melawat ke kawasan pelancongan tersebut. Pelancong asing juga akan berasa teruja dan ingin datang berkali-kali. Sebagai contohnya, peniaga produk pelancongan mahupun agensi yang memasarkan produk pelancongan seperti baju dan cenderamata mempromosikan produk pelancongan mereka. Para pelancong terutamanya pelancong dari luar negara pastinya akan berasa takjub dan ingin datang ke Malaysia pada masa yang akan datang. Jelaslah di sini, promosi produk pelancongan oleh agensi-agensi tertentu juga dapat menyumbang kepada kemajuan sektor pelancongan di Malaysia.


    Secara keseluruhannya, pelbagai usaha yang boleh dilakukan untuk memajukan sektor pelancongan di Malaysia. Oleh itu, semua pihak perlulah memainkan peranan masing-masing secara bersungguh-sungguh dan konsisten bagi memastikan matlamat negara menarik seberapa ramai pelancong tercapai. Berkat daya usaha yang tidak mengenal putus asa, Malaysia akan menjadi pusat pelancongan yang tiada tolok bandingnya di rantau Asia malah di seluruh dunia. Matlamat ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Sebagai seorang pelajar, jelaskan manfaat-manfaat yang anda peroleh daripada penggunaan laman sosial.

Masyarakat dunia pada hari ini sering menggunakan laman sosial untuk pelbagal tujuan dan kegunaan.

Sebagai seorang pelajar, jelaskan manfaat-manfaat yang anda peroleh daripada penggunaan laman sosial.

 

                Pada zaman dahulu, masyarakat bertandang ke rumah jiran untuk bertanya khabar atau berbual-bual bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan sebagai satu proses sosialisasi. Namun, pada era kecanggihan teknologi ini, proses sosialisasi dilalui oleh masyarakat menerusi medium berteknologi tinggi. Menurut kenyataan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Shabery Chek, kebanyakan rakyat Malaysia dahagakan pengalaman berinteraksi dengan dunia luar menggunakan cara yang lebih interaktif dan efektif iaitu melalui laman sosial. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Facebook Incorporation pada tahun 2012 pula, Malaysia menduduki negara kedua teratas dalam senarai negara dengan jumlah pengguna laman sosial Facebook paling ramai di Asia selepas Indonesia. Walau bagaimanapun, bagi saya penggunaan laman sosial seperti Facebook, Twitter' dan 'Instagram bukanlah digunakan untuk berhibur semata-mata, malah sebagai pelajar saya mendapat banyak manfaat bagi pelbagai tujuan yang lebih berfaedah. Sebenarnya, sebagai pelajar dalam era globalisasi ini, pelbagai manfaat yang saya peroleh daripada penggunaan laman sosial.


                Salah satu kebaikan daripada penggunaan laman sosial yang nyata kepada saya ialah saya dapat mengeratkan perhubungan dengan rakan-rakan dan saudara-mara. Hal ini demikian kerana, rangkaian luas dalam laman sosial membolehkan saya dan rakan-rakan berhubung semula di samping mengeratkan jalinan persaudaraan sesama sanak saudara. Perhubungan yang terpisah sementara dek hambatan masa dan urusan masing-masing serta faktor jarak antara saya dan mereka dapat dikukuhkan melalui interaksi di laman sosial. Rakan rakan zaman persekolahan peringkat rendah dan menengah dapat ditemui menerusi laman sosial, begitu juga dengan saudara-mara saya yang berhijrah ke tempat lain di dalam negara atau luar negara dapat dihubungi semula. Interaksi menerusi laman sosial ini kerap kali membawa kepada pertemuan realiti seperti majlis perjumpaan bekas pelajar sekolah atau perhimpunan anggota keluarga secara besar-besaran. Di samping itu, melalui Facebook saya dapat menambah lebih ramai kenalan termasuklah rakan-rakan baru dari seluruh dunia. Bagi saya, mewujudkan ikatan atau perhubungan dengan masyarakat dunia luar pada alaf 21 ini amat penting kerana hal ini dapat meluaskan horizon minda saya. Melalui laman sosial, saya dapat mengetahui dan memahami adat dan budaya sesebuah masyarakat di negara lain melalui ‘rakan maya’. Interaksi di alam siber membolehkan paparan variasi gambar dan teks yang mendedahkan adat dan budaya masyarakat setempat dapat saya ketahui. Sebaga contoh, rakan 'Facebook' saya dari Perancis dapat menyampaikan cerita kepada saya cara tentang cara hidup dan amalan budaya mereka. Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan sahabat handai dan saudara-mara di samping menambah kenalan baru saya.


                Selain itu, melalui laman sosial juga saya dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dalam subjek yang dipelajari dan juga mencakupi pelbagai bidang lain. Hal ini demikian kerana, menerusi laman sosial terdapat pelbagai laman blog milik indidvidu yang mahir dalam sesuatu bidang. Banyak blog yang berkaitan akademik ditulis oleh para guru dari seluruh tanah air yang memuatkan pelbagai panduan, tip dan bahan pembelajaran. Tokoh kemanusiaan terkemuka dari India, Mahatma Gandhi pernah berkata "pendidikan merupakan akar bagi sesebuah bangsa yang mundur untuk bangkit. Sehubungan dengan itu, saya mengambil inisiatif yang bijak dengan memuat turun nota dan contoh soalan daripada blog-blog yang tersedia secara percuma dan pantas. Melalui kaedah ini, saya dapat mengurangkan kos untuk membeli buku rujukan dan buku koleksi soalan. Sebagai contohnya, nota-nota serta soalan soalan percubaan peringkat negeri dapat saya gunakan secara maksimum setelah di muat turun dan dicetak. Saya juga boleh beriteraksi dengan pemilik-pemilik blog untuk mendapatkan pengetahuan yang lebih terperinci dalam bidang yang saya sukai. Sebagai contohnya, bidang seni fotografi kian menjadi kegemaran saya lantaran melihat pelbagai gambar panorama menarik di beberapa buah negara. Minat baru saya ini didorong secara kuat oleh kenalan kenalan yang mempunyai hobi yang sama dan mereka memberikan pautan pemilik blog yang mahir dalam bidang fotografi. Impaknya, kemahiran dalam mengendalikan kamera dapat saya pelajari. Sudah terang lagi bersuluh bahawa melalui penggunaan laman sosial membolehkan saya meningkatkan ilmu dan prestasi akademik serta menambahkan pengetahuan baru yang lain tanpa sekatan.


                Tidak dapat dinafikan, interaksi melaui laman sosial dapat membantu saya mendapatkan maklumat pengajian di alam maya secara terperinci. Hal ini membawa maksud, selain berinteraksi dengan berbual di alam maya, saya dan rakan-rakan dapat merancang masa depan secara serius. Saya dan rakan-rakan tidak perlu ke lokasi sebenar institusi yang diminati. Sebaliknya, saya dan rakan-rakan dapat menyertal kumpulan individu yang mempunyai kecenderungan atau minat yang sama di laman sosial dan membuat perancangan program pendidikan selepas menduduki  Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan lebih lancar. Kami berdiskusi tentang maklumat berkaitan program pengajian dan bidang pekerjaan yang diimpikan setelah tamat pengajian peringkat ijazah. Saya yang meminati bidang psikologi dan neurologi berusaha mendapatkan maklumat lanjut tentang universiti yang menawarkan pengajian dalam bidang ini. Saya sering melayari laman web University of Nottingham melalui kursus 'Psychology dan Cognitive Neuroscience' untuk berinteraksi dengan mahasiswa dalam kursus ini. Melalui ruang bual atau 'chat room' yang disediakan, saya mendapatkan maklumat dalam bidang ini secara mendalam. Tegasnya, penggunaan laman sosial dapat membantu saya merancang masa depan yang cerah dalam bidang pengajian yang diminati, sesuai dengan pepatah Inggeris yang bermaksud "jika anda gagal untuk merancang, anda merancang untuk gagal".


                Melalui laman sosial juga, saya dapat menjana pendapatan sendiri dengan melakukan perniagaan secara kecil-kecilan. Aktiviti baru ini membolehkan saya mengurangkan kebergantungan kepada ibu bapa selain mengajar saya untuk berdikari. Perniagaan ini dilakukan sebagai hobi sahaja kerana saya perlu mengutamakan pelajaran saya pada ketika ini. Saya yang turut meminati bidang perniagaan dapat menggunakan peluang keemasan di laman sosial ini untuk mewujudkan jaringan perniagaan dengan agen atau rakan bisnes lain. Penjualan tudung dan aksesori pakaian yang saya lakukan semakin mendapat perhatian daripada kenalan-kenalan saya. Mereka sering menempah produk yang saya pasarkan menerusi 'Facebook' dan 'Instagram' milik saya. Secara tidak langsung, saya mempelajari teknik pemasaran, kedudukan akaun perniagaan dan cara mendapatkan stok produk. Pengalaman berniaga secara atas talian ini juga memudahkan saya kerana tidak memerlukan ruang kedai khusus yang memerlukan kos lebih besar, malahan aktiviti ini menguntungkan kerana modal lebih rendah, pemasaran produk lebih cepat dan mudah. Oleh itu, izharlah bahawa penggunaan laman sosial dapat menjana pendapatan bagi seorang pelajar seperti saya dan mengajar saya untuk berdikari ibarat peribahasa Melayu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.


                Kesimpulannya, pelbagai manfaat yang saya peroleh daripada penggunaan laman sosial dalam usaha melengkapkan diri sebagai seorang pelajar dan remaja generasi kini. Manfaat yang diperoleh datangnya daripada kebijaksanaan pengguna laman sosial itu sendiri. Oleh yang demikian, saya dan para pelajar perlulah memastikan laman sosial digunakan secara baik dan bijak agar mendapat impak yang positif dan menghindarkan penyalahgunaan laman sosial yang bakal mengundang masalah kebejatan moral dalam kalangan generasi remaja kini. Peribahasa Melayu menyatakan, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Diharapkan, penggunaan laman sosial secara bijak dapat melahirkan insan yang berdaya saing dalam era kepesatan Teknologi Komunikasi dan Maklumat ini. Generasi yang berminda kelas pertama ini pastinya akan memberi sumbangan terhadap kemajuan negara Malaysia tercinta ini.

15/11/2021

'Budi Bahasa Budaya Kita'. Huraikan peranan ibu bapa dalam menyuburkan amalan berbudi bahasa dalam kalangan anak-anak.

        Dalam menongkah arus globalisasi dan modenisasi ,negara Malaysia semakin maju mengatur langkah hingga ke persada antarabagsa .Penerapan budaya yang baik menjadikan Malaysia semakin gah berdiri bersama-sama negara yang maju seperti Jepun dan negara-negara Eropah.Namun, sayang seribu sekali sayang, amalan budaya yang baik ini semakin sirna dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum . Hal ini adalah disebabkan beberapa faktor seperti sikap individualistik sesetengah masyarakat yang tidak mengambil berat dan tidak berbudi bahasa dengan masyarakat yang lain. Slogan ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi mengatasi masalah ini kurang mendapat sambutan daripada masyarakat khususnya golongan remaja dan anak-anak. Oleh itu, ibu bapa berperanan vital dalam mendidik anak-anak supaya mengamalkan slogan ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ memandangkan institusi kekeluargaan merupakan asas bagi membentuk anak muda menjadi orang yang berguna. 

         Antara prakarsa dalam menyuburkan budaya budi bahasa kepada anak-anak ialah ibu bapa mendidik anak-anak supaya berbudi bahasa sedari kecil lagi. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu,melentur buluh biarlah dari rebungnya . Berdasarkan kata puitis yang penuh retorik ini, ibu bapa sewajarnya mentarbiyah anak-anak dalam pelbagai cabang kehidupan khususnya dalam aspek sahsiah . Hal ini demikian kerana peribahasa Melayu juga mengatakan ,asal benih yang baik dicampak laut menjadi mutiara , dicampak ke darat membentuk permata , terawang di angkasa bertukar kejora. Komitmen ibu-bapa tidak berhenti setakat itu sahaja , mereka perlulah mendidik anak-anak dengan lemah lembut supaya anak-anak lebih mudah untuk menerima ilmu tersebut.Aspek sahsiah yang perlu ditekankan dalam diri anak-anak termasuklah menjaga tutur kata daripada perkataan nista dan tidak elok, menghormati orang yang lebih tua, menyayangi orang yang lebih muda . Jelaslah , ibu-bapa perlulah mengajar anak-anaknya dengan amalan budi bahasa yang tinggi agar anak-anak ini tidak akan menconteng arang ke muka mereka seterusnya dipandang tinggi dan disanjung masyarakat setempat. 

        Selain itu, peribahasa Melayu ada menyatakan, bagaimana acuan begitulah kuihnya, bagaimana contoh begitulah gubahnya, bagaimana tepuk begitulah tarinya. Ibu bapa seharusnya menjadi suri teladan kepada anak-anak. Sebelum mengajar anak-anak agar berbudi bahasa, ibu bapa dahulu yang perlu bersikap semedikian. Hal ini adalah untuk mengelakkan ibu bapa menjadi seperti ketam mengajar anaknya jalan lurus. Tambahan pula, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Anak-anak kebiasaannya akan menjadi seperti ibu bapanya. Jika baik ibu bapanya, maka baiklah anaknya. Ibu bapanya sewajarnya berbudi bahasa dengan pelbagai lapisan masyarakat bermula dari yang muda hinggalah yang tua. Hal ini adalah untuk memastikan anak-anak mereka turut mengamalkan budaya berbudi bahasa. Ibu bapa juga sewajarnya menjadi contoh teladan dengan berbuat baik terhadap jiran tetangga mahupun saudara-mara. Ibu bapa juga sewajarnya perlulah cakna dengan sikap anak-anak mereka agar mereka tidak terdorong untuk melakukan sikap-sikap mazmumah yang keji lagi hina. Sebelum nasi menjadi bubur, sebelum harapan menjadi kabur, Ibu bapa hendaklah bertindak pantas dalam menunjukkan sahsiah yang baik agar anak-anak yang masih muda dan mentah dapat dibesarkan dalam suasana yang baik dan berbudi bahasa. Izharnya, ibu bapa bertanggungjawab menjadi ustawun hasanah kepada anak-anak mereka dalam menyuburkan amalan berbudi bahasa ini. 

        Hakikat yang tidak dapat disangkal, bapa ibarat nakhoda yang mengemudi bahteranya. Nakhoda inilah yang akan menjaga kebajikan anak-anak kapalnya. Apabila badai datng melanda, nakhodalah yang membuat keputusan sama ada berpatah balik atau terus menongkah badai tersebut. Jika nakhoda tersalah membuat keputusan, maka karamlah bahteranya. Ibnu Batutah juga pernah berkata, “kehebatan sesebuah bahtera tidak terletak pada kehebatan bahtera tersebut, tetapi terletak pada nakhoda yang mengemudi bahtera tersebut.” Itulah yang dapat dianalogikan kepada tugas dan amanah seorang bapa. Sebagai ketua keluarga, bapa perlulah menghantar anak-anaknya ke sekolah bermula dari umurnya tujuh tahun lagi. Hal ini demikian kerana, anak-anak mampu dididik untuk berbudi bahasa melalui pembelajaran di sekolah khususnya subjek Pendidikan Islam, Bahasa Melayu dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Bukan itu sahaja, seorang bapa itu wajar menghantar anaknya ke sekolah supaya mereka dapat mengimplementasikan nilai-nilai murni yang telah diterapkan dalam diri mereka semasa berada di rumah kepada rakan-rakan dan guru-guru mereka. Hal ini adalah untuk memastikan mereka mampu untuk mengamalkan sifat-sifat mahmudah dengan orang yang terdekat dengan mereka dan seterusnya dengan masyarakat pluralistik di persekitaran mereka. Bapa juga seyogianya memupuk sifat mahmudah dalam atma dan sanubari anak-anak agar mereka dapat menjadi insan yang berbudi bahasa dan berperketi mulia . Tidak dapat dinafikan lagi, bapa merupakan tonggak keluarga yang membentuk anak-anak yang berbudi bahasa. 

        Seterusnya, dalam menelusuri kehidupan berkeluarga, anak-anak ini ibarat kain putih yang bersih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Penerapan ilmu agama perlu menjadi keutamaan ibu bapa dalam memupuk dan melahirkan anak-anak yang berbudi bahasa. Pendeta bahasa, Hamka pernah mengatakan bahawa agama tidak melarang sesuatu perbuatan itu jika tidak merosakkan jiwa, agama tidak menyuruh melakukan sesuatu perkara jika perkara itu tidak membawa kepada keselamatan dan kebahagiaan jiwa. Menurut kata-kata Hamka ini, ibu bapa sewajarnya mendidik anak-anak dengan ilmu agama kerana ilmu agama mampu mendisiplinkan dan melahirkan anak-anak yang baik dalam segenap aspek. Agama Islam menganjurkan umatnya agar beradab sopan dan dan berbudi bahasa dalam kehidupan seharian. Sifat lemah lembut dan baik hati Khalifah Uthman bin Affan wajar dijadikan teladan kepada anak-anak. Ibu bapa perlu mengetahui bahawa anak yang tiada didikan agama ini umpama kaca, bukannya permata. Ajaran yang dibawa oleh agama Islam adalah terbaik dan bermanfaat serta relevan sepanjang zaman. Pada masa ini, ibu bapa wajarlah menjadikan Nik Nur Madihah sebagai panduan untuk mendidik anak-anak kerana beliau bukan sahaja pintar, malah berbudi bahasa dan berakhlak mulia hasil daripada hubungan beliau yang baik dengan Sang Pencipta. Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa yang menerapkan didikan agama yang kukuh dalam diri anak-anak mampu menjadikan anak-anaknya berbudi bahasa. 

        Sebagai meneruskan kesinambungan generasi zuriat, amanah ibu bapa tidak berhenti setakat itu sahaja. Ibu bapa juga perlulah sentiasa memantau gerak-geri anak-anak. Ibu bapa tidak sepatutnya bekerja terlalu keras sehingga mengabaikan anak-anak di rumah. Sebaliknya, ibu bapa hendaklah meluangkan masa dengan anak-anak, melihat perkembangan akademik anak-anak dan memantau tingkah laku anak-anak. Tujuan tindakan ini adalah untuk memastikan anak-anak mendapat kasih sayang yang secukupnya dan terhindar daripada terjurumus ke lembah kehinaan. Jika anak-anak melakukan sebarang kesilapan seperti berbahasa kasar ataupun tidak menghormati orang lain, ibu bapa sewajarnya menegur dan menasihati anak-anak secara berhikmah agar tidak berkelakuan sedemikian kerana akan memberi impak yang buruk kepada diri anak-anak serta ibu bapa itu sendiri. Amalan nasihat-menasihati ini perlu diimplementasikan antara ahli keluarga untuk memastikan anak anak tidak melakukan kesilapan dan kesalahan, malah dapat membaiki diri mereka agar menjadi insan yang lebih baik dari hari ke hari. Peribahasa Melayu, sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan perlu dititikberatkan dalam mendidik anak-anak agar setiap nasihat yang diberikan dapat meresap ke dalam diri mereka. Ibu bapa juga seharusnya mengajak anak-anak menziarahi saudara-mara dan mengunjungi jiran tetangga supaya dengan aktiviti tersebut, secara tidak langsung ibu bapa dapat mengajar anak-anak agar bersikap baik terhadap anggota masyarakat di sekeliling mereka. Titik tolak daripada manifestasi ini, ibu bapa memegang amanah untuk menasihati dan memperbaik sahsiah anak-anak walau di mana mereka berada. 

        Secara keseluruhannya, ibu bapa amat berperanan penting dalam menyuburkan amalan budi bahasa dalam kalangan anak-anak. Bagi mencapai matlamat tersebut, ibu bapa perlulah menggembleng tenaga dan nekad melaksanakan azam dalam melahirkan anak-anak sebagai generasi yang berbudi bahasa. Seorang cendekiawan pernah berkata, "cita-cita yang besar tidak dapat dicapai dengan target yang kecil dan usaha yang biasa-biasa sahaja," Diharapkan, transformasi dalam pendidikan tidak formal oleh ibu bapa yang menjadi guru pertama di rumah dapat dilakukan dengan jayanya supaya anggota masyarakat yang berbudi bahasa dapat dilahirkan. Generasi inilah yang akan hidup bersama-sama umpama serumpun bagai serai, sedencing bagai besi dan seçiap bagai ayam hasil daripada amalan budi bahasa yang diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat. Keteguhan budaya dan pengamalan budi bahasa inilah yang menjadikan rakyat Malaysia sering menjadi sebutan di mana-mana.